Friday, March 15, 2013

Tentang BR1M, Lembu, Ayam dan Firaun


Siapa sangka pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kini menjadi satu polemik yang semakin panas dan kontroversi. Ini semua gara-gara kenyataan sinis yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS Dato Nik Aziz Nik Mat yang memberikan gambaran seolah pemberian (BR1M) ini adalah seperti memberi haiwan ternakan makan dengan niat untuk kemudian hari menyembelihnya. Kenyataan pelik ini kemudiannya disusuli oleh kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bukan sahaja mengelar penerima BR1M sebagi bodoh tetapi menyamakan pemberiannya sebagai satu tindakan persis di zaman Firaun Laknatullah.

Persoalannya kenapa sekarang ditimbulkan segala ini?Kenapa tidak dikomen ketika mula-mula BR1M diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang kurang kemampuan? Penyokong tegar PAS menjelaskan bahawa kenyataan Nik Aziz ini adalah bersifat metafora dan telah disalah tafsirkan oleh media  massa. Namun setelah mendengar dan membaca beberapa kali kenyataan tersebut saya gagal untuk melihat di mana letaknya unsur metafora yang dimaksudkan tersebut.



Satu ketika dahulu Tun M pernah diselar oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat setelah beliau memetik satu peribahasa Inggeris berikut “better the devil you know than the angel you don’t”. Jelas ini adalah satu peribahasa yang memberi maksud secara metafora tentang sesuatu perkara tersebut. Apakah pula metafora di sebalik kenyataan TGNA? Menyatakan bahawa rakyat yang menerima bantuan BR1M sebagai bodoh dan mudah terpedaya?

Saya berpendapat bahawa kenyataan ini adalah berunsur nakal dan cemerkap oleh seorang ahli politik yang sepatutnya mempunyai pengalaman yang lama di di dalam arena politik Negara.   Acapkali diwar-warkan oleh media massa sikap berlumba-lumba parti politik dari pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk memberi bantuan kepada rakyat jelata. Malahan di dalam Manifesto Rakyat yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini, banyak cadangan bantuan wang ringgit telah dimasukkan sebagai janji mereka kiranya berkuasa kelak.

Sebagai contoh Pakatan Rakyat telah berjanji untuk mencarum sejumlah RM50-00 sebulan buat semua isteri-isteri bagi menjaga kebajikan wanita dan RM1,000-00 setahun pula buat semua warga emas. Alangkah indahnya dunia seperti yang digambarkan oleh Pakatan Rakyat ini. Tetapi apabila merujuk kembali kepada komen TGNA dan Hadi Awang terhadap bantuan BR1M, tidakkah ini kelihatan seperti “paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih?”



Kemuncaknya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula hari ini mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengeluarkan fatwa mengharamkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ini adalah disebabkan oleh kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa pemberian BR1M adalah amalan Firaun.

"Jika mereka tidak haramkan, ini bermakna apa yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah kerja amal dan untuk membantu rakyat supaya lebih sejahtera, bahagia, dan boleh gunakan bantuan itu untuk menguruskan keperluan keluarga mereka” ujar Tan Sri Muhyiddin.

Kesimpulannya, rakyat perlu menilai sendiri bantuan-bantuan kerajaan yang diberikan bagi mengurangkan beban mereka. Tidak semestinya penerimaan BR1M ini adalah sebagai bukti tanda aras sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional.  Malahan kerajaan Barisan Nasional masih punya perjalanan yang panjang bagi meyakinkan keseluruhan rakyat agar menerima polisi-polisi mereka. Apa yang jelas Rakyat gembira dan berterima kasih di atas pemberian BR1M tersebut. Jika ada niat tersembunyi pihak Kerajaan, hanya Tuhan yang maha mengetahui.

@zulazry

P/S: Telah disiarkan di dalam laman web Barisan Nasional