Showing posts with label Tun M. Show all posts
Showing posts with label Tun M. Show all posts

Monday, May 6, 2013

Kedah Kembali Ke Pangkuan @barisanasional #SaveKedah #KedahBaru



Kerajaan PAS di Kedah sebelum kekekalahan dlm PRU12  adalah pentadbir dan Barisan Nasional mengambil tugas sebagi agen "Check & Balance". Apa yg penting sekarang adalah mengenalpasti samada prestasi kerajaan PAS yang telah diberi mandat oleh rakyat Kedah mencapai tahap yang sepatutnya. Rakyat Kedah harus menilai setiap apa yang dilakukan sepanjang PAS memerintah menjelang PRU13 yang akan diadakan kelak.

Pada awalnya, Kerajaan PAS Kedah dilihat seperti satu sinar baru buat rakyat Kedah. Rakyat yang percaya dengan imej Islam yang dibawa PAS mendambakan suatu perubahan dalam segenap aspek. Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan, seorang ilmuwan juga tampak tidak agresif dan mengambil pendekatan sederhana dalam mentadbir negeri Jelapang Padi. Namun begitu, mungkin kerana sudah lama membarisi kerusi pembangkang, Kerajaan PAS dilihat sangat lemah dari segi pentadbiran.

Kita boleh lihat dari segi pengurusan air di Kedah yg mana setelah disusun semula melihat kenaikan dalam tarif Air; lantas janji atau manifesto yang tarif air tidak akan dinaikkan gagal dipenuhi.  Penarahan bukit bukau bagi memenuhi nafsu serakah pembalak bukan lagi satu rahsia di Kedah, malahan berlaku di depan mata Menteri Besar sendiri. Projek pembalakan di Papua New Guinea yang pada awalnya dicanang sebagai tanda kebijaksaan pelaburan luar negara kerajaan, akhirnya punah bersama dengan wang rakyat.

Di kala kuil-kuil Hindu di seluruh negara dipertahankan walau dilanda arus permodenan, kerajaan PAS Kedah atas nama pembangunan berjaya merencana pengambilalihan tanah Madrasah Salihiah. Tidak mengejutkan juga bahawa pemaju yang terlibat adalah Belleview Group iaitu pemaju yang sama yang menjadi pertikaian di Pulau Pinang. Sekiranya kita lihat di Mid Valley Megamall, di sana kita dapat saksikan sebuah Kuil Hindu gah berdiri utuh menidakkan pembangunan total pihak pemaju. Di mana keseimbangan kebendaan dan kerohanian yang dicanang oleh PAS? Adakah pembangunan lebih penting dari mengimarahkan sebuah Madrasah?

Di manakah pula janji kerajaan PAS untuk menghapuskan maksiat, judi & arak sebelum mendapat kuasa? Kini bukan sahaja tidak dihapuskan, malah pusat-pusat hiburan terus segar tumbuh bak cendawan selepas hujan. Lihat saja di Alor Mengkudu di mana tersegamnya sebuah Kelab Malam Eksklusif bediri megah di bawah naungan kerajaan negeri.  Malahan kerajaan PAS terus mengutip levi & cukai dari bayaran lesen atas pusat-pusat hiburan, judi & arak . Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kerajaan negeri PAS punya "tangan kotor" dalam mengalakkan kebejatan sosial di Kedah.

Apabila disentuh berkenaan dengan laporan Audit Negara terhadap badan dan anak syarikat kerajaan negeri kedah didapati terdapat kelemahan perlaksanaan dan pemantauan. Kegagalan paling besar seperti pembalakan di Papua New Guinea dan juga projek 99 East di Langkawi jelas menzahirkan betapa lemahnya Kerajaan Negeri yang gagal membuat "feasibility studies". Suatu perkara asas sebelum membuat sebarang pelaburan besar.

Kemelut yang melanda Kolej Universiti Insaniah yang satu ketika dahulu menjadi kebangaan rakyat seolah tidak ada penghujungnya. Pelbagai masalah yang dihadapi seperti pembayaran gaji kakitangan yang tidak menentu, KWSP tidak dicarum serta yang terbaru disaman RM3 juta di Mahkamah. Semua ini menunjukkan kelemahan pengurusan ketara di bawah kendalian kerajaan negeri PAS. Di mana rancangan pembinaan rumah mampu milik yang dirancang di Pokok Sena, Yan dan lain-lain tempat? Semua ini adalah fakta dan bukan fitnah sehingga Adun-adun PAS kelu tak terkata apabila disoal di dalam sidang DUN.

Banyak lagi contoh yang dapat dibawakan di sini bagi membuktikan kelemahan kerajaan negeri PAS dalam aspek perancangan dan pentadbiran. Dalam usaha untuk menaikkan imej kerajaan negeri yang sudah semakin tercalar, satu buletin telah diedarkan oleh mereka kepada rakyat yang mengatakan bahawa sejak 2008 sebanyak 11 buah masjid telah dibina mereka. Walhal, Kesemua masjid tersebut dibina melalui dana persekutuan dan satu oleh individu.

Oleh itu tidak mengejutkanlah apabila melihat PAS Negeri Kedah menyaksikan perebutan kuasa di antara pimpinan negeri sehinggakan akhirnya mereka tumbang dalam PRU13. Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Pas telah diberi peluang yang saksama untuk membuktian kemampuan mereka. Malangnya, tidak ada satu pun perkara yang dapat dibanggakan semenjak mereka memerintah. Apa yang jelas, mereka tidak pandai mentadbir dan harus dikembalikan ke barisan kerusi pembangkang.


@Zul Azry


PS: Alhamdulillah Barisan Nasional berjaya merampas tampuk pemerintahan di Kedah.Tahniah diucapkan kepada Datuk Paduka Mukhriz Mahathir 

Friday, March 15, 2013

Tentang BR1M, Lembu, Ayam dan Firaun


Siapa sangka pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kini menjadi satu polemik yang semakin panas dan kontroversi. Ini semua gara-gara kenyataan sinis yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS Dato Nik Aziz Nik Mat yang memberikan gambaran seolah pemberian (BR1M) ini adalah seperti memberi haiwan ternakan makan dengan niat untuk kemudian hari menyembelihnya. Kenyataan pelik ini kemudiannya disusuli oleh kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bukan sahaja mengelar penerima BR1M sebagi bodoh tetapi menyamakan pemberiannya sebagai satu tindakan persis di zaman Firaun Laknatullah.

Persoalannya kenapa sekarang ditimbulkan segala ini?Kenapa tidak dikomen ketika mula-mula BR1M diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang kurang kemampuan? Penyokong tegar PAS menjelaskan bahawa kenyataan Nik Aziz ini adalah bersifat metafora dan telah disalah tafsirkan oleh media  massa. Namun setelah mendengar dan membaca beberapa kali kenyataan tersebut saya gagal untuk melihat di mana letaknya unsur metafora yang dimaksudkan tersebut.



Satu ketika dahulu Tun M pernah diselar oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat setelah beliau memetik satu peribahasa Inggeris berikut “better the devil you know than the angel you don’t”. Jelas ini adalah satu peribahasa yang memberi maksud secara metafora tentang sesuatu perkara tersebut. Apakah pula metafora di sebalik kenyataan TGNA? Menyatakan bahawa rakyat yang menerima bantuan BR1M sebagai bodoh dan mudah terpedaya?

Saya berpendapat bahawa kenyataan ini adalah berunsur nakal dan cemerkap oleh seorang ahli politik yang sepatutnya mempunyai pengalaman yang lama di di dalam arena politik Negara.   Acapkali diwar-warkan oleh media massa sikap berlumba-lumba parti politik dari pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk memberi bantuan kepada rakyat jelata. Malahan di dalam Manifesto Rakyat yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini, banyak cadangan bantuan wang ringgit telah dimasukkan sebagai janji mereka kiranya berkuasa kelak.

Sebagai contoh Pakatan Rakyat telah berjanji untuk mencarum sejumlah RM50-00 sebulan buat semua isteri-isteri bagi menjaga kebajikan wanita dan RM1,000-00 setahun pula buat semua warga emas. Alangkah indahnya dunia seperti yang digambarkan oleh Pakatan Rakyat ini. Tetapi apabila merujuk kembali kepada komen TGNA dan Hadi Awang terhadap bantuan BR1M, tidakkah ini kelihatan seperti “paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih?”



Kemuncaknya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula hari ini mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengeluarkan fatwa mengharamkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ini adalah disebabkan oleh kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa pemberian BR1M adalah amalan Firaun.

"Jika mereka tidak haramkan, ini bermakna apa yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah kerja amal dan untuk membantu rakyat supaya lebih sejahtera, bahagia, dan boleh gunakan bantuan itu untuk menguruskan keperluan keluarga mereka” ujar Tan Sri Muhyiddin.

Kesimpulannya, rakyat perlu menilai sendiri bantuan-bantuan kerajaan yang diberikan bagi mengurangkan beban mereka. Tidak semestinya penerimaan BR1M ini adalah sebagai bukti tanda aras sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional.  Malahan kerajaan Barisan Nasional masih punya perjalanan yang panjang bagi meyakinkan keseluruhan rakyat agar menerima polisi-polisi mereka. Apa yang jelas Rakyat gembira dan berterima kasih di atas pemberian BR1M tersebut. Jika ada niat tersembunyi pihak Kerajaan, hanya Tuhan yang maha mengetahui.

@zulazry

P/S: Telah disiarkan di dalam laman web Barisan Nasional