Showing posts with label PRU13. Show all posts
Showing posts with label PRU13. Show all posts

Wednesday, May 15, 2013

Pakatan Rakyat Hipokrit Raikan Kemenangan #PRU13

Saya berkesempatan bersembang dengan orang kampung masa balik Alor Star tempoh hari. Seperti biasa topik politik masih jadi perbualan hangat apatah lagi dengan kemenangan Barisan Nasional di Kedah. Saya berbual dengan Pak Umar "Misai", seorang orang lama di Pekan Langgar. Antara perkara yang tarik perhatian saya ketika berbual dengan beliau ialah, betapa majoriti rakyat Kedah tidak kira dari BN atau PR menyenangi  Menteri Besar baru Kedah, Dato Paduka Mukhriz Mahathir. 

Seperkara yang dikesali oleh golongan akar umbi ialah sikap bermuka-muka yang diambil oleh pihak Pakatan Rakyat berkenaan dengan keputusan PRU13 ini. Pakatan Rakyat seolah mempermainkan sistem demokrasi negara apabila membantah keputusan PRU13 dengan melancarkan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara. Namun begitu tidak pula membantah keputusan di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Orang ramai sudah semakin muak dengan jenama politik yang dibawa oleh Anwar Ibrahim! Klasik Orwellian! 


Hishamudin Rais baru-baru ini berkata bahawa mereka membantah keputusan di 30 kerusi yang Pakatan Rakyat kalah. Tidakkah ini persis sikap "sore losers" yang tidak dapat menerima hakikat bahawa Pakatan Rakyat masih belum berjaya memecah dominasi Barisan Nasional? Tidak ada satu pun bukti kukuh yang dikemukakan sehingga kini tentang tuduhan PR bahawa PRU13 ini kotor. Hanya tohmahan"standard"  yang dilagukan tiap kali Pilihan Raya diadakan. 

Seolah menjangka kekalahan mereka, gerakan membantah keputusan ini dilihat agak terancang di seluruh negara. Dalam tempoh tidak sampai dua minggu, Anwar Ibrahim seperti biasa berjaya mentarbiyah pengikut-pengikut beliau agar membantah keputusan pilihanraya. Malah bantahan jalanan juga menjadi salah satu pilihan mereka andai kata itu sahaja jalan yang ada. Bukankah PR punya barisan peguam yang handal-handal belaka. Buatlah persediaan jitu untuk memfailkan petisyen pilihanraya. 

Lagi satu, majlis kesyukuran pun nak buat ke kalau bantah beria-ria? 

@zulazry 

P/S: Ikutlah nasihat Dr.Maza ni



Sunday, May 12, 2013

US Gagal kuasai Asia setelah Anwar gagal tumbangkan BN? #tolakPR #black505

Cubaan Amerika Syarikat untuk menguasai Malaysia punyai sebab yang sangat jelas iaitu untuk mengekang penguasaan Ekonomi kuasa besar ASIA, China. Sebelum ini ramai penulis yang telah menulis dengan terperinci berkenaan isu ini namun tidak siapa yang mahu mempercayainya. Apatah lagi golongan yang Pro Pakatan Rakyat akan menyatakan bahawa ini adalah cubaan Barisan Nasional untuk memburukkan lagi nama mereka. 


Isyarat-isyarat yang telah diberikan sebelum ini cukup jelas dan segala petunjuk akan berakhir di Amerika Syarikat. Kedudukan strategik Malaysia di rantau Asia memberikan keistimewaan di dalam kerangka ekonomi kerana peri pentingnya Selat Melaka dan Laut China Selatan. Hubungan diplomatik yang baik di antara Malaysia dan China juga telah disemai sekian lama, oleh yang demikian Malaysia punya keistimewaan yang tersendiri.

Di mana kaitan semua ini dengan Anwar?

Anwar jelas sekali telah lama mendapat "layanan istimewa" oleh sekutu beliau dari Amerika Syarikat. Ini semua bukannya satu rahsia lagi dan sekiranya carian dibuat secara terperinci di Laman sesawang, nama beliau acapkali dikaitkan dengan beberapa agensi Pro-zionis di Amerika Syarikat. Bukan setakat itu, beliau pernah memegang jawatan penting di dalam perlbagai agensi seperti World Bank, International Monetary Fund (IMF), dan juga sebagai pensyarah di John Hopkins University. Selain daripada itu beliau telah beberapa kali dipanggil sebagai panelis di majlis kelolaan National Endowment for Democracy. Agensi sama yang membiayai gerakan BERSIH di Malaysia.

Apakah Anwar Ibrahim betul-betul punya niat suci untuk menjuarai suara rakyat Malaysia atau hanya sebagai proksi kuasa besar barat? Global Research, satu agensi antarabangsa dalam satu tulisan bertajuk Malaysia:Failure of US to Subvert the Elections and Install a "Proxy Regime"  telah memberi gambaran jelas tentang isu ini. Segala petunjuk adalah sangat jelas dan kadangkala menakutkan apabila difikirkan. Betapa seorang individu sanggup lakukan apa sahaja hanya untuk mendapat kuasa di Putrajaya.

Setelah gagal untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, kini Anwar Ibrahim dengan gerombolan beliau sedang laksanakan gerak gempur #Black505. Modus Operandinya mudah, bangkitkan amarah rakyat dan tanam fahaman pada mereka bahawa undi mereka telah dirompak. Di mana janji beliau yang mahu bersara sekiranya tidak berjaya ke Putrajaya? Lihat rakaman kenyataan beliau di pautan ini Saya yakin kita menang,kalau kalah saya akan bersara

@zulazry 

P/S: Bukalah mata anda dan nilai sendiri perjuangan yang dibawa Anwar Ibrahim serta Pakatan Rakyat ini. 

Friday, May 10, 2013

Rasiskah Masyarakat kita?

Sedang saya menanti kereta dibasuh sebelum memulakan perjalanan ke Alor Star, saya terpandang satu kumpulan pemuda. Mereka sedang minum dan nampaknya sedang menikmati perbualan yang agak rancak. Menariknya kumpulan ini terdiri daripada anak-anak muda Melayu dan juga Cina.

Mereka mungkin tidak langsung ambil pusing tentang situasi politik semasa yang kononnya telah memecahkan perpaduan kaum di Malaysia. Hilai tawa mereka tidak langsung mencerminkan apa yang diwar-warkan di seluruh negara. Saya percaya masyarakat Malaysia sudah cukup matang untuk menghadapi kemelut sosio-politik yang disebabkan oleh politik kotor sesetengah pihak.

Saban hari kita hidup dengan harmoni bersama kaum lain tanpa langsung memikirkan tentang permasalahan yang kononnya dihadapi negara. 13 Mei? Tanyalah orang muda sekarang, saya berani jamin tidak ramai yang mengetahuinya dan mungkin langsung tidak ambil kisah tentangnya. Apakah mereka perlu tanggung dosa lampau yang seringkali menghantui generasi pra merdeka?

Masyarakat di kampung juga tidak pernah hadapi "masalah" ini kerana mereka telah lama hidup dengan aman bersama kaum-kaum lain. Sifat saling hormat menghormati ini sangat unik di dalam negara kita ini dan tidak akan dapat dipersoalkan oleh sesiapa pun. Apatah lagi oleh para politikus yang hanya mahu mencorakkan masyarakat mengikut kehendak dan acuan mereka tersendiri.

Situasi pasca PRU13 tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam masyarakat kita. Apa yang pasti kempen berterusan oleh PR dan BN telah menghasilkan satu keputusan yang tidak sihat. Apa pun Barisan Nasional harus ambil iktibar daripada keputusan ini.Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memenangi hati pengundi Cina. Jangan salahkan mereka kerana tidak mengundi anda!

Namun saya yakin perpaduan kaum dalam negara tidak akan tercalar hanya kerana kempen keterlaluan oleh PR dan juga BN. Kumpulan anak muda yang saya lihat tadi memberi sekelumit harapan bahawa perpaduan antara kaum masih lagi utuh dalam negara kita.

@zulazry

P/s: Pls put a leash on "so called" BN friendly bloggers who wantonly   published racial slurs! 

Wednesday, May 8, 2013

Himpunan Suara Keramat Rakyat bakal tabal Anwar sebagai PM? #Black505

Hebat sungguh aura Anwar Ibrahim semasa Himpunan Suara Keramat Rakyat malam tadi. Himpunan yang menjana kehadiran puluhan ribu penyokong tegar Pakatan Rakyat membawa satu misi khas iaitu membantah keputusan Pilihan Raya ke 13. Hakikatnya perkara ini telah pun diramal belaku oleh kebanyakan penganalisis politik tanah air. Malahan segala gerak geri Pakatan Rakyat kini sudah terlalu mudah untuk dibaca oleh rakyat. 


Saya berkesempatan menghadiri perhimpunan tersebut dan cuba untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh pemimpin-pemimpin yang berucap. Memandangkan niat utama mereka adalah untuk membantah keputusan pilihan raya, saya menanti sebarang bukti yang akan dibawa oleh mereka. Apa yang saya nampak hanyalah cubaan mereka untuk menaikkan rasa benci rakyat kepada SPR dan juga Barisan Nasional. Saya rasa mereka tidak perlu bersungguh berbuat demikian kerana semua yang hadir sudah tentu membenci kerajaan.


Setiap pemimpin yang diberi peluang untuk berucap membawa nada yang serupa. Mereka mengatakan SPR tidak telus. Mereka mendakwa BN bawa 40,000 warga bangladesh untuk mengundi. Mereka kata BN menang tipu sebab "blackout". Mereka kata helikopter digunakan untuk membawa 2 peti undi. Namun sehingga akhir perhimpunan #black505 semalam, mereka masih gagal kemuka bukti senarai nama 40,000 yang dimaksudkan dan tunjuk bukti kukuh kejadian "black out" tersebut? Hanya jerit pekik pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyemarakkan rasa benci pada Kerajaan Barisan Nasional.


Malahan ada juga di kalangan pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang sanggup memberi peringatan bahawa ulangtahun peristiwa 13 Mei akan tiba tidak lama lagi. Untuk apakah sejarah hitam ini diulangi? Tidak ada langsung kaitan di antara peristiwa 13 Mei dengan Himpunan Suara Keramat Rakyat ini. Ironinya, kerajaan Pakatan Rakyat segera membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Kelantan? Sistem pilihan raya yang sama juga dijalankan di sana dan kini mereka katakan bahawa SPR tidak telus?


Malahan majoriti pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap di atas pentas di Stadium Kelana Jaya semalam berjaya memenangi kerusi Pilihan Raya yang ditandingi mereka! Apa yang jelas Anwar memang punya aura dan lantang apabila berhujah! Malahan sesiapa sahaja boleh terpengaruh dengan setiap bait kata-kata yang diucapkan beliau. Namun pada saya himpunan semalam hanyalah satu lagi platform buat Anwar menghidupkan sisa-sisa peluang beliau untuk ke Putrajaya.

Tidak hairanlah ada di kalangan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang sudah merasa penat dengan perjuangan kosong Anwar Ibrahim ini. Cukuplah mengheret rakyat bersama kegagalanmu Anwar. Himpun segala data, faillah Petisyen Membantah Pilihan Raya. Itu sahaja jalan terakhir yang ada.

@zulazry 

P/S: Takut dengan bayang-bayang sendiri? 

Tsunami "UBAH" bantu kemenangan Pakatan Rakyat? #GE13 #PRU13

Pilihan Raya ke 13 yang baru sahaja berakhir menimbulkan pelbagai persoalan di dalam usaha pembinaan negara. Hakikatnya Barisan Nasional telah gagal untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di dalam Parlimen. Walaupun Barisan Nasional berjaya mendapat mandat untuk memerintah dengan majoriti mudah, banyak persoalan yang timbul terutamanya kekuatan perikatan Barisan Nasional.

Semua orang memperkatakan tentang "Tsunami Cina" yang melanda negara walhal pada pendapat saya ini tidak tepat. Pihak Pakatan Rakyat sebenarnya telah berjaya membawa satu jenama secara konsisten di dalam usaha mereka menentang Barisan Nasional. Jenama "UBAH" yang selama ini dicanang secara tersusun oleh laskar-laskar Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk "mindset" pengundi-pengundi muda dalam mereka membuat pilihan.

Buka sahaja laman Facebook dan buat carian "UBAH" dan anda akan dapat lihat betapa tersusun dan lantang pihak pelopor jenama ini. Setiap apa yang dicanangkan oleh "UBAH" walaupun tidak benar atau separa benar dicanangkan secara maksima. Lihat sahajalah bagaimana cerita tentang "blackout" ini direkayasa sehingga seluruh Malaysia memperkatakannya dalam tempoh yang singkat. Orang tidak peduli walaupun ada yang memberi penjelasan yang munasabah kerana mereka sudah tidak peduli pada fakta. Apa yang mereka tahu Anwar Ibrahim adalah benar dan apa sahaja yang keluar dari mulut Ketua Pembangkang adalah "wahyu"!


Ini adalah hakikat pahit yang perlu diambil iktibar oleh pihak Barisan Nasional. Tidak perlu jadi seorang penganalisa politik dari pertubuhan "think-tank" terkemuka untuk membuat andaian ini kerana pihak Pakatan Rakyat sebenarnya sudah lama bertapak dalam alam maya. Minda penyokong tegar dan juga majoriti senyap di telah dirawat secara sistematik dalam tempoh yang lama supaya membenci apa sahaja berkaitan kerajaan Barisan Nasional.


Pada masa yang sama, minda penyokong Pakatan Rakyat juga telah dibutakan terhadap sebarang salah laku yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Pihak Barisan Nasional telah berjaya mengurangkan sedikit pengaruh gelombang "UBAH" di dalam alam maya namun ini tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat terutama DAP daripada mencatatkan keputusan cemerlang dalam PRU13.

Oleh itu, "Tsunami Cina" bukanlah ukuran yang tepat terhadap kegagalan pihak Barisan Nasional untuk mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam PRU13. Sebenarnya, pola undi rakyat kini berpecah kepada banyak kategori dan satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mendapatkan gambaran yg lebih jelas. Sebagai contoh, Individu seperti Rafizi Ramli dan juga Zairil berjaya menang di tempat majoriti kaum cina dan menentang lawan kaum cina. Apa penjelasannya di sini? Cuba kaji kerusi-kerusi di bawah seperti yang dikongsi di laman FB sahabat saya.


Saya juga sangat kecewa apabila golongan Melayu Ultra meletakkan 100% kesalahan terhadap MCA yang telah gagal untuk menyumbangkan kemenangan seperti yang dijanjikan. Semangat kerjasama harus diteruskan kerana semangat inilah yang selama ini membawa kejayaan kepada Barisan Nasional sejak kemerdekaan lagi. UMNO juga pernah gagal sebelum ini dan MCA & MIC berada bersama mereka. Kenapa kini semua pihak meletakkan beban hanya pada MCA? Datuk Seri Najib Razak juga harus memikul tanggungjawab selaku pengerusi Barisan Nasional!


Trend kemenangan tipis pilihanraya juga dialami di UK dan juga USA. Media Sosial seperti Twitter, Facebook dan juga Youtube menjadi senjata ampuh parti politik dalam mebawa mesej mereka. Apapun, Pilihan Raya telah tamat dan setiap komponen Parti dalam Barisan Nasional harus segera lakukan "bedah siasat" bagi mencari segala kelemahan yang ada dan atasi semuanya. Barisan Nasional masih lagi relevan dan kerjasama ini harus diteruskan agar usaha pembinaan negara dapat dijalankan dengan lancarnya.

@zulazry 


P/S. Please stop all the crap about MCA not performing! UMNO didn't fair well either!