Showing posts with label pilihan raya. Show all posts
Showing posts with label pilihan raya. Show all posts

Thursday, May 16, 2013

Ketegasan Zahid Hamidi Bakal Perkasakan Kementerian Dalam Negeri



Pelantikan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri ternyata amat dialu-alukan oleh semua rakyat di Malaysia. Ketegasan dan sikap "no-nonsense" beliau begitu ketara apatah lagi ketika kemuncak peristiwa pencerobohan Geng Kiram. Pada ketika itu Mantan beliau dilihat seolah terlampau berlembut dengan penceroboh tersebut dan akibatnya 10 orang wira negara telah gugur. Apa pun setiap pemimpin mempunyai pendekatan tersendiri dan yang penting krisis tersebut kini telah berakhir.

Namun begitu, tugas yang lebih penting kini menanti beliau khususnya berkenaan situasi pasca Pilihan Raya ke 13 ini. Demonstrasi demi demonstrasi yang dijalankan Pakatan Rakyat di seluruh negara semakin menguji kesabaran pihak kerajaan. Rakyat juga rasa amat marah kerana kumpulan ini dilihat seolah diberi laluan bebas untuk berhimpun dan melakukan apa sahaja. 

Ramai yang mempersoalkan "leeway" yang diberikan pihak Polis Diraja Malaysia kepada pihak Pakatan Rakyat untuk membuat perhimpunan. Ada yang mempersoalkan kenapa mereka seolah diberi lesen besar untuk menghasut rakyat untuk memberontak. Anwar Ibrahim sebagai Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat seharusnya menenangkan penyokong-penyokong beliau dan ambil saluran undang-undang untuk membantah. Namun beliau lantang menempelak SPR dan juga kerajaan. Hishamuddin Rais sebagai contoh telah beberapa kali dilaporkan akan membawa rakyat menentang kerajaan di jalanan. 

Datuk Seri Zahid Hamid harus segera duduk bersama Ketua Polis yang baru untuk menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat. Gerakan #black505 dilihat sebagai satu platform buat Anwar Ibrahim untuk mencabar kesahan kerajaan baru pimpinan Barisan Nasional.  Suara-suara "Malaysian Spring" semakin kedengaran di dalam lama-laman Facebook serta Twitter. Kementerian Dalam Negeri harus ambil tindakan proaktif bagi memastikan kestabilan sosio-ekonomi negara.

Satu ruang yang perlu diberi penekanan khusus adalah aspek pemerhatian media sosial. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi menangkis serangan alam maya yang dilihat kini semakin menjadi-jadi. Menyebarkan fitnah dengan sewenang-wenangnya terhadap kerajaan dan menghasut rakyat agar menentang kerajaan.

Terbaru, Datuk Seri Zahid Hamidi dilaporkan berkata bahawa sesiapa yang tidak puas hati dengan sistem politik negara harus berhijrah ke luar negara.   Baca di sini. Ketegasan sebegini amat dinantikan oleh rakyat yang kian muak dengan politik tanpa had Anwar Ibrahim dan sekutu-kutunya.

@zulazry

P/S: Masih menanti pengumuman nama 3 orang pemimpin pembangkang yang dikatakan terlibat dengan pencerobohan Geng Kiram

Friday, May 10, 2013

Rasiskah Masyarakat kita?

Sedang saya menanti kereta dibasuh sebelum memulakan perjalanan ke Alor Star, saya terpandang satu kumpulan pemuda. Mereka sedang minum dan nampaknya sedang menikmati perbualan yang agak rancak. Menariknya kumpulan ini terdiri daripada anak-anak muda Melayu dan juga Cina.

Mereka mungkin tidak langsung ambil pusing tentang situasi politik semasa yang kononnya telah memecahkan perpaduan kaum di Malaysia. Hilai tawa mereka tidak langsung mencerminkan apa yang diwar-warkan di seluruh negara. Saya percaya masyarakat Malaysia sudah cukup matang untuk menghadapi kemelut sosio-politik yang disebabkan oleh politik kotor sesetengah pihak.

Saban hari kita hidup dengan harmoni bersama kaum lain tanpa langsung memikirkan tentang permasalahan yang kononnya dihadapi negara. 13 Mei? Tanyalah orang muda sekarang, saya berani jamin tidak ramai yang mengetahuinya dan mungkin langsung tidak ambil kisah tentangnya. Apakah mereka perlu tanggung dosa lampau yang seringkali menghantui generasi pra merdeka?

Masyarakat di kampung juga tidak pernah hadapi "masalah" ini kerana mereka telah lama hidup dengan aman bersama kaum-kaum lain. Sifat saling hormat menghormati ini sangat unik di dalam negara kita ini dan tidak akan dapat dipersoalkan oleh sesiapa pun. Apatah lagi oleh para politikus yang hanya mahu mencorakkan masyarakat mengikut kehendak dan acuan mereka tersendiri.

Situasi pasca PRU13 tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam masyarakat kita. Apa yang pasti kempen berterusan oleh PR dan BN telah menghasilkan satu keputusan yang tidak sihat. Apa pun Barisan Nasional harus ambil iktibar daripada keputusan ini.Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memenangi hati pengundi Cina. Jangan salahkan mereka kerana tidak mengundi anda!

Namun saya yakin perpaduan kaum dalam negara tidak akan tercalar hanya kerana kempen keterlaluan oleh PR dan juga BN. Kumpulan anak muda yang saya lihat tadi memberi sekelumit harapan bahawa perpaduan antara kaum masih lagi utuh dalam negara kita.

@zulazry

P/s: Pls put a leash on "so called" BN friendly bloggers who wantonly   published racial slurs!