Wednesday, May 8, 2013

Tsunami "UBAH" bantu kemenangan Pakatan Rakyat? #GE13 #PRU13

Pilihan Raya ke 13 yang baru sahaja berakhir menimbulkan pelbagai persoalan di dalam usaha pembinaan negara. Hakikatnya Barisan Nasional telah gagal untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di dalam Parlimen. Walaupun Barisan Nasional berjaya mendapat mandat untuk memerintah dengan majoriti mudah, banyak persoalan yang timbul terutamanya kekuatan perikatan Barisan Nasional.

Semua orang memperkatakan tentang "Tsunami Cina" yang melanda negara walhal pada pendapat saya ini tidak tepat. Pihak Pakatan Rakyat sebenarnya telah berjaya membawa satu jenama secara konsisten di dalam usaha mereka menentang Barisan Nasional. Jenama "UBAH" yang selama ini dicanang secara tersusun oleh laskar-laskar Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk "mindset" pengundi-pengundi muda dalam mereka membuat pilihan.

Buka sahaja laman Facebook dan buat carian "UBAH" dan anda akan dapat lihat betapa tersusun dan lantang pihak pelopor jenama ini. Setiap apa yang dicanangkan oleh "UBAH" walaupun tidak benar atau separa benar dicanangkan secara maksima. Lihat sahajalah bagaimana cerita tentang "blackout" ini direkayasa sehingga seluruh Malaysia memperkatakannya dalam tempoh yang singkat. Orang tidak peduli walaupun ada yang memberi penjelasan yang munasabah kerana mereka sudah tidak peduli pada fakta. Apa yang mereka tahu Anwar Ibrahim adalah benar dan apa sahaja yang keluar dari mulut Ketua Pembangkang adalah "wahyu"!


Ini adalah hakikat pahit yang perlu diambil iktibar oleh pihak Barisan Nasional. Tidak perlu jadi seorang penganalisa politik dari pertubuhan "think-tank" terkemuka untuk membuat andaian ini kerana pihak Pakatan Rakyat sebenarnya sudah lama bertapak dalam alam maya. Minda penyokong tegar dan juga majoriti senyap di telah dirawat secara sistematik dalam tempoh yang lama supaya membenci apa sahaja berkaitan kerajaan Barisan Nasional.


Pada masa yang sama, minda penyokong Pakatan Rakyat juga telah dibutakan terhadap sebarang salah laku yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Pihak Barisan Nasional telah berjaya mengurangkan sedikit pengaruh gelombang "UBAH" di dalam alam maya namun ini tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat terutama DAP daripada mencatatkan keputusan cemerlang dalam PRU13.

Oleh itu, "Tsunami Cina" bukanlah ukuran yang tepat terhadap kegagalan pihak Barisan Nasional untuk mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam PRU13. Sebenarnya, pola undi rakyat kini berpecah kepada banyak kategori dan satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mendapatkan gambaran yg lebih jelas. Sebagai contoh, Individu seperti Rafizi Ramli dan juga Zairil berjaya menang di tempat majoriti kaum cina dan menentang lawan kaum cina. Apa penjelasannya di sini? Cuba kaji kerusi-kerusi di bawah seperti yang dikongsi di laman FB sahabat saya.


Saya juga sangat kecewa apabila golongan Melayu Ultra meletakkan 100% kesalahan terhadap MCA yang telah gagal untuk menyumbangkan kemenangan seperti yang dijanjikan. Semangat kerjasama harus diteruskan kerana semangat inilah yang selama ini membawa kejayaan kepada Barisan Nasional sejak kemerdekaan lagi. UMNO juga pernah gagal sebelum ini dan MCA & MIC berada bersama mereka. Kenapa kini semua pihak meletakkan beban hanya pada MCA? Datuk Seri Najib Razak juga harus memikul tanggungjawab selaku pengerusi Barisan Nasional!


Trend kemenangan tipis pilihanraya juga dialami di UK dan juga USA. Media Sosial seperti Twitter, Facebook dan juga Youtube menjadi senjata ampuh parti politik dalam mebawa mesej mereka. Apapun, Pilihan Raya telah tamat dan setiap komponen Parti dalam Barisan Nasional harus segera lakukan "bedah siasat" bagi mencari segala kelemahan yang ada dan atasi semuanya. Barisan Nasional masih lagi relevan dan kerjasama ini harus diteruskan agar usaha pembinaan negara dapat dijalankan dengan lancarnya.

@zulazry 


P/S. Please stop all the crap about MCA not performing! UMNO didn't fair well either! 

Tuesday, May 7, 2013

Kemenangan Barisan Nasional disebabkan "Black Magic"? #TolakPR

Seperti dijangka Barisan Nasional kembali diberi mandat selepas memenangi PRU13 yang baru berakhir semalam.Tapi seperti biasa juga suara-suara sumbang mula kedengaran terutamanya di laman media sosial.

Perkara yang paling hangat dicernakan oleh kilang fitnah Pakatan Rakyat ialah kejadian "blackout" yang dikatakan berlaku di beberapa pusat penjumlahan undi seluruh negara. Mengikut cerita hikayat ini, tiba-tiba angin bertiup kencang dan suasana gelap melanda ketika pengiraan undi dilakukan. Kemudian secara magis timbul beberapa kotak peti undi di hadapan petugas-petugas SPR.

Dalam masa yang sama juga para pemerhati "counting agents" dari semua parti terlibat yang ada di sana tiba-tiba seperti dipukau kerana tidak menyedari dari mana munculnya kotak ajaib tersebut. Mungkin pengarah Strategik Rafizi Ramli boleh bagi penerangan beserta bukti menggunakan "greenscreen" bagi menyokong khabar angin ini.

Saya nak kongsi screen print yang dikongsi oleh sahabat saya. Posting FB ini dibuat oleh seorang wartawan Oriental Daily yang berada di tempat penjumlahan undi Bentong. Wartawan yang Pro PR ini berkata beliau hairan apabila media sosial DAP mengumumkan kemenangan Wong Tuck walaupun pengiraan belum selesai.

Kemudian apabila Liow Tiong Lai diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti yang tipis, tiba-tiba keluarlah hikayat "blackout". Sepantas kilat cerita palsu ini tersebar di dalam Media Sosial. Hebat juga permainan wayang opera mereka kali ini.Tapi nak tipu siapa? Gerakannya cukup tersusun sekali dan hari ini semua orang memperkatakannya.

Kalau betul BN boleh "kawtim" SPR, buatlah bagi menang 2/3 majoriti! Baru meletop!




"Although I look down and hated Barisan Nasional, but I am even more despise people who spread unsubstantiated remarks over the internet.

As one of those who stationed at Bentong constituency, I think I have the responsibility to tell everyone what actually happened.

1) It's only at 10.45 pm the polling station officially confirmed that Wong Tack has lost to Liow Tiong Lai. However, news on "Wong Tack defeats Liow Tiong Lai" had started to spread over the internet around 10 pm. In fact, at that time, Wong Tack was only leading by about 4,000 votes.

2) The headquarter of Bentong vote-counting centre has never had blackout!!!!
Please do not simply believe in news announced over the internet to an irrational extent. Over!!!"


General Kedai Kopi dan Kolonel Papan Kekunci


Baru-baru ini saya menghadiri satu majlis akad nikah dan ketika menikmati jamuan saya terdengar seorang pemuda lingkungan 30 an sedang asyik menghentam kerajaan. Saya tidak ambil pusing sangat kerana perkara ini adalah normal dalam sistem politik kepartian negara kita. Namun begitu selera saya sedikit terganggu apabila mereka mula membahaskan tentang pencerobohan pengganas Kiram dan merumuskan bahawa apa yang berlaku di Sabah telah dirancang oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Dalam negara menghadapi krisis keselamatan yang paling hebat dewasa ini, saya merasa sangat marah melihat segelintir rakyat yang mudah melempar tohmahan negatif kepada kerajaan dan pasukan keselamatan kita. Setakat ini sepuluh (10) orang anggota keselamatan kita telah gugur di dalam krisis di Lahad Datu dan Semporna. Adakah itu juga dirancang kerajaan? Air mata yang mengalir pada waris-waris perwira negara yang gugur juga palsu belaka?

Semua ini bertitik tolak daripada kenyataan biadap Ahli Parlimen Batu Y.B Tian Chua yang mudah merumuskan bahawa apa yang terjadi di Sabah adalah rancangan jahat UMNO dan Barisan Nasional. Beliau telah didakwa di Mahkamah atas kesalahan menghasut tetapi ini tidak mampu menutup mulut penyokong Pakatan Rakyat yang percaya dengan tohmahan ini. Media sosial digunakan dengan rakusnya untuk melemparkan pelbagai tuduhan pada pihak berkuasa khususnya Pihak Polis Diraja Malaysia. Kata-kata seperti “anjing umno” dan “mati katak” digunakan sewenang-wenangnya oleh segelintir rakyat terhadap pasukan keselamatan kita seolah mereka lebih tahu hal keselamatan negara.


Salah seorang bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat, Ng Lum Yong pernah merumuskan bahawa Pakatan Rakyat hanya pandai menghasut penyokong-penyokong mereka agar merasa benci kepada kerajaan. Sikap membenci kerajaan ini telah lama dipupuk oleh pimpinan Pakatan Rakyat sehingga membutakan hati penyokong mereka untuk membezakan antara yang hak dan yang batil. PAS juga tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan laba politik daripada isu di Sabah ini dengan mempersoalkan darjah “kesyahidan” wira-wira kita yang gugur. 

Di manakah sensitiviti mereka ini terhadap waris-waris pejuang kita? Perlu diingat juga bahawa Op Daulat masih lagi berjalan dan kenyataan-kenyataan biadap serta cemerkap ini mampu meruntuhkan semangat pasukan keselamatan kita di sana. Seluruh rakyat perlu sepakat di belakang kerajaan menentang dan mengutuk tindakan pengganas Kiram menceroboh kedaulatan negara kita. Inilah masanya untuk kita menzahirkan rasa patriotik kita terhadap Malaysia yang tercinta. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam telah menyatakan bahawa kerajaan akan mengadakan satu siasatan “white paper” bagi menyiasat setiap aspek pencerobohan oleh pengganas Kiram ini termasuk mengenal pasti dalang yang merancangnya. Kerajaan berdepan cabaran pertama pasca pemansuhan Akta Dalam Negeri 1960 yang sebelum ini telah digunakan dengan berkesannya bagi menangani kegiatan subversif dalam negara.

Krisis di Sabah akan beransur pulih dan kehidupan rakyat di kawasan yang terbabit akan kembali normal sedikit demi sedikit. Segelintir rakyat yang memberi komen biadap terhadap pasukan keselamatan mungkin tidak langsung mengambil kisah tentang nasib dan juga isteri dan anak-anak pejuang yang gugur. Mereka selesa menjadi General kedai kopi atau Kolonel papan kekunci dan gemar berhujah berkenaan teori konspirasi. Biarkanlah mereka, mereka jahil. Saya pulang dengan rasa yang diredam; menyedapkan hati ini memikirkan yang majoriti rakyat Malaysia masih menyokong penuh perjuangan pasukan keselamatan kita. 

@zulazry

P/S: Mari nantikan siapakah 3 org individu yg menjadi tali barut pengganas Kiram. Al-Fatihah buat perwira-perwira kita yang gugur menentang penceroboh Kiram.



Transformasi PAS berjaya? #BetterNation

Perjuangan PAS kini telah jauh tersasar dari arah tuju utama mereka. Segala usaha dan tekad mereka kini hanyalah berkiblatkan tampuk pimpinan Putrajaya. Sekilas lipatan sejarah memperlihatkan suatu ketika dahulu mereka cukup konsisten di dalam mentarbiyah ahli dan juga memperjuangkan negara Islam. Di atas sebab itu juga penyokong-penyokong PAS tidak gentar menghadapi apa sahaja rintangan. Malah suatu ketika dahulu, apa sahaja yang dilakukan tidak langsung mengharap sebarang ganjaran. Suruhlah mereka panjang pokok setinggi-tingginya untuk memasang bendera PAS, mereka akan berebut-rebut untuk melakukannya.

Semua ini adalah lahir daripada kepimpinan Haji Hadi Awang yang cukup istiqamah memperjuangkan penubuhan negara Islam. Kata-kata beliau dijadikan azimat buat penyokong-penyokong PAS berjuang di mana-mana sahaja tanpa rasa gentar.


“Kita rela kalah kerana melaksanakan Islam.Kita rela ditolak oleh rakyat kerana melaksanakan suruhan ALLAH.Apalah maknanya sebuah pemerintahan tanpa mendapat redha ALLAH!”

Di manakah bermula detik-detik signifikan yang telah mengubah hala-tuju perjuangan PAS mutakhir ini? Kenapakah dari sebuah kelompok yang konsisten memperjuangkan negara Islam boleh bertukar sekelip mata? Tokoh yang sama juga terlibat di dalam mengemudi arah tuju baru PAS. Beliau pernah berkata pada Januari 2003: 

“Justeru kerana isu Negara Islam dan pelaksanaan hudud dan syariat menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif terdahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan HUDUD di peringkat persekutuan.Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini” 

Perubahan radikal yang dibawa oleh TGHA ini jelasnya adalah untuk memenuhi keperluan kesepakatan di antara DAP dan juga PKR. Lazimnya DAP tidak sesekali akan berganjak dengan prinsip mereka yang menentang sekerasnya penubuhan negara Islam dan juga undang-undang HUDUD. Formula ini telah memberi pulangan kepada barisan Pakatan Rakyat di dalam Pilihan Raya ke 12. 


Persoalannya sekarang, adakah wujud lagi keperluan bagi orang Melayu Islam menyokong PAS. Ini adalah kerana PAS tidak lagi berbeza dengan UMNO. Segala aspek yang kini diperjuangkan oleh PAS seperti Negara Berkebajikan telah lama diimplimentasikan oleh Barisan Nasional melalui polisi-polisi mereka. Malahan sekarang golongan Ulama sudah semakin disisihkan oleh pimpinan utama PAS. Nama-nama besar seperti Ustaz Nasharuddin dan juga Hasan Ali disisihkan dan diganti dengan pemimpin yang lebih liberal pandangan mereka terhadap Islam. 

Masih relevankah perjuangan PAS kini? Pendekatan liberal ini jelas terpancar apabila isu penggunaan kalimah suci ALLAH di dalam Kitab Injil berbahasa melayu dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat. Hanya setelah menerima tamparan hebat oleh bukan sahaja golongan ulama di dalam PAS malahan majoriti rakyat Islam, barulah PAS membatalkan sokongan mereka terhadap isu ini. Namun ini tidak memadamkan kesangsiaan Melayu Islam di Malaysia tentang keikhlasan PAS memperjuangkan Islam. Kesangsian tersebut semakin menebal apabila TGHA dilaporkan berkata pada 3.11.2012 : 

“Kita mengikut kesesuaian termasuk melalui jangkaan penerimaan pengundi untuk menjamin kemenangan. Sebab itu kita tidak boleh dan tidak meletakkan calon bertanding begitu sahaja, kita mahu calon itu menang.”


Maka lengkaplah transformasi PAS dari sebuah Parti yang berlandaskan Islam dalam segala aspek kepada sebuah parti demokratik liberal yang akan mengambil kira keperluan dan kesesuaian masa kini sehingga mengenepikan niat penubuhan negara Islam dan Hudud.Namun begitu sokongan ahli kepada pimpinan tetap utuh walaupun pelbagai isu melanda PAS.

Dr.Farish Noor memuji PAS sebagai satu parti yang dinamis dan berkembang mengikut arus zaman. Persoalannya sekarang, adakah perkembangan tersebut selari dengan perjuangan asal mereka?Apakah golongan kontemporari telah berjaya merubah pemikiran pimpinan tertinggi mereka sehingga kini tidak lagi memperjuangkan konsep negara Islam?

@zulazry 

P/S: Apa bezanya PAS dgn UMNO skrg?

Politik Zaman Edan?

Pendedahan demi pendedahan berkenaan salah laku seks oleh pimpinan tertinggi Pakatan Pembangkang kebelakangan ini adalah satu perkembangan tidak sihat di dalam dunia politik negara. Terbaru, satu rakaman video yang dikatakan melibatkan pimpinan tertinggi PAS Dato Mustafa Ali, heboh diperkatakan. Video yang menampilkan aksi seks oleh seseorang yang mirip beliau ini berkualiti tinggi dan jelas menampakkan rupa wajah si pelaku. Ekoran pendedahan ini, Mustafa Ali telah mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan beliau dan serah kepada peguam beliau.

Dalam lipatan sejarah, taktik pendedahan skandal seks dan serangan peribadi ini telah mula dipelopori oleh parti DAP. Pada 11 Disember 1989 Karpal Singh telah mendedahkan di dalam Dewan Rakyat bahawa D.P Vijandran (Pemimpin tinggi MIC ketika itu) terlibat di dalam perlakuan lucah yang mana video rakamannya telah tersebar setelah dicuri dari rumah beliau. Kemudian sekali lagi Karpal Singh membuat serangan peribadi dengan mendedahkan dalam Parlimen bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam aktiviti seks songsang. Rekod Hansard menunjukkan Karpal Singh telah membuat kenyataan tersebut sebanyak tiga kali di dalam Dewan Rakyat.

Selepas itu di antara pemimpin-pemimpin negara yang pernah tercalit dengan skandal seks adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Chua Soi Lek dan juga Azmin Ali. Hanya Datuk Seri Chua Soi Lek sahaja yang berani mengakui kesilapan beliau dan memohon maaf kepada rakyat. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali berterusan menafikan bahawa mereka terlibat di dalam rakaman-rakaman video terbabit. Sebaliknya, kewujudan video tersebut telah digunakan sepenuhnya oleh Pakatan Pembangkang untuk mendapatkan laba politik dengan mendendangkan lagu simpati kepada rakyat. Lebih ramai orang memperkatakan tentang video tersebut semakin ramai orang membenci kerajaan.

Oleh itu adalah tidak logik dari segi strategi politik untuk Barisan Nasional atau UMNO mengambil bahagian secara aktif di dalam pendedahan skandal terbaru ini. Ini adalah kerana kecenderungan pihak pembangkang menuding jari kepada pihak UMNO dan Barisan setiap kali timbul isu-isu sebegini. Tidak cukup dengan itu, penyokong-penyokong tegar mereka tanpa usul periksa pantas menempelak UMNO dan Barisan Nasional. Pelbagai jolokan dan momokan dilemparkan tanpa sedikit pun mengkaji tuduhan-tuduhan tersebut. Sejauh mana skandal terbaru ini akan mempengaruhi persepsi rakyat masih lagi tidak dapat dikenalpasti. Sama-samalah kita nantikan.











Monday, May 6, 2013

Kedah Kembali Ke Pangkuan @barisanasional #SaveKedah #KedahBaru



Kerajaan PAS di Kedah sebelum kekekalahan dlm PRU12  adalah pentadbir dan Barisan Nasional mengambil tugas sebagi agen "Check & Balance". Apa yg penting sekarang adalah mengenalpasti samada prestasi kerajaan PAS yang telah diberi mandat oleh rakyat Kedah mencapai tahap yang sepatutnya. Rakyat Kedah harus menilai setiap apa yang dilakukan sepanjang PAS memerintah menjelang PRU13 yang akan diadakan kelak.

Pada awalnya, Kerajaan PAS Kedah dilihat seperti satu sinar baru buat rakyat Kedah. Rakyat yang percaya dengan imej Islam yang dibawa PAS mendambakan suatu perubahan dalam segenap aspek. Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan, seorang ilmuwan juga tampak tidak agresif dan mengambil pendekatan sederhana dalam mentadbir negeri Jelapang Padi. Namun begitu, mungkin kerana sudah lama membarisi kerusi pembangkang, Kerajaan PAS dilihat sangat lemah dari segi pentadbiran.

Kita boleh lihat dari segi pengurusan air di Kedah yg mana setelah disusun semula melihat kenaikan dalam tarif Air; lantas janji atau manifesto yang tarif air tidak akan dinaikkan gagal dipenuhi.  Penarahan bukit bukau bagi memenuhi nafsu serakah pembalak bukan lagi satu rahsia di Kedah, malahan berlaku di depan mata Menteri Besar sendiri. Projek pembalakan di Papua New Guinea yang pada awalnya dicanang sebagai tanda kebijaksaan pelaburan luar negara kerajaan, akhirnya punah bersama dengan wang rakyat.

Di kala kuil-kuil Hindu di seluruh negara dipertahankan walau dilanda arus permodenan, kerajaan PAS Kedah atas nama pembangunan berjaya merencana pengambilalihan tanah Madrasah Salihiah. Tidak mengejutkan juga bahawa pemaju yang terlibat adalah Belleview Group iaitu pemaju yang sama yang menjadi pertikaian di Pulau Pinang. Sekiranya kita lihat di Mid Valley Megamall, di sana kita dapat saksikan sebuah Kuil Hindu gah berdiri utuh menidakkan pembangunan total pihak pemaju. Di mana keseimbangan kebendaan dan kerohanian yang dicanang oleh PAS? Adakah pembangunan lebih penting dari mengimarahkan sebuah Madrasah?

Di manakah pula janji kerajaan PAS untuk menghapuskan maksiat, judi & arak sebelum mendapat kuasa? Kini bukan sahaja tidak dihapuskan, malah pusat-pusat hiburan terus segar tumbuh bak cendawan selepas hujan. Lihat saja di Alor Mengkudu di mana tersegamnya sebuah Kelab Malam Eksklusif bediri megah di bawah naungan kerajaan negeri.  Malahan kerajaan PAS terus mengutip levi & cukai dari bayaran lesen atas pusat-pusat hiburan, judi & arak . Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kerajaan negeri PAS punya "tangan kotor" dalam mengalakkan kebejatan sosial di Kedah.

Apabila disentuh berkenaan dengan laporan Audit Negara terhadap badan dan anak syarikat kerajaan negeri kedah didapati terdapat kelemahan perlaksanaan dan pemantauan. Kegagalan paling besar seperti pembalakan di Papua New Guinea dan juga projek 99 East di Langkawi jelas menzahirkan betapa lemahnya Kerajaan Negeri yang gagal membuat "feasibility studies". Suatu perkara asas sebelum membuat sebarang pelaburan besar.

Kemelut yang melanda Kolej Universiti Insaniah yang satu ketika dahulu menjadi kebangaan rakyat seolah tidak ada penghujungnya. Pelbagai masalah yang dihadapi seperti pembayaran gaji kakitangan yang tidak menentu, KWSP tidak dicarum serta yang terbaru disaman RM3 juta di Mahkamah. Semua ini menunjukkan kelemahan pengurusan ketara di bawah kendalian kerajaan negeri PAS. Di mana rancangan pembinaan rumah mampu milik yang dirancang di Pokok Sena, Yan dan lain-lain tempat? Semua ini adalah fakta dan bukan fitnah sehingga Adun-adun PAS kelu tak terkata apabila disoal di dalam sidang DUN.

Banyak lagi contoh yang dapat dibawakan di sini bagi membuktikan kelemahan kerajaan negeri PAS dalam aspek perancangan dan pentadbiran. Dalam usaha untuk menaikkan imej kerajaan negeri yang sudah semakin tercalar, satu buletin telah diedarkan oleh mereka kepada rakyat yang mengatakan bahawa sejak 2008 sebanyak 11 buah masjid telah dibina mereka. Walhal, Kesemua masjid tersebut dibina melalui dana persekutuan dan satu oleh individu.

Oleh itu tidak mengejutkanlah apabila melihat PAS Negeri Kedah menyaksikan perebutan kuasa di antara pimpinan negeri sehinggakan akhirnya mereka tumbang dalam PRU13. Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Pas telah diberi peluang yang saksama untuk membuktian kemampuan mereka. Malangnya, tidak ada satu pun perkara yang dapat dibanggakan semenjak mereka memerintah. Apa yang jelas, mereka tidak pandai mentadbir dan harus dikembalikan ke barisan kerusi pembangkang.


@Zul Azry


PS: Alhamdulillah Barisan Nasional berjaya merampas tampuk pemerintahan di Kedah.Tahniah diucapkan kepada Datuk Paduka Mukhriz Mahathir 

Friday, March 15, 2013

Tentang BR1M, Lembu, Ayam dan Firaun


Siapa sangka pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kini menjadi satu polemik yang semakin panas dan kontroversi. Ini semua gara-gara kenyataan sinis yang dikeluarkan oleh Mursyidul Am PAS Dato Nik Aziz Nik Mat yang memberikan gambaran seolah pemberian (BR1M) ini adalah seperti memberi haiwan ternakan makan dengan niat untuk kemudian hari menyembelihnya. Kenyataan pelik ini kemudiannya disusuli oleh kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bukan sahaja mengelar penerima BR1M sebagi bodoh tetapi menyamakan pemberiannya sebagai satu tindakan persis di zaman Firaun Laknatullah.

Persoalannya kenapa sekarang ditimbulkan segala ini?Kenapa tidak dikomen ketika mula-mula BR1M diperkenalkan bagi membantu mengurangkan beban rakyat yang kurang kemampuan? Penyokong tegar PAS menjelaskan bahawa kenyataan Nik Aziz ini adalah bersifat metafora dan telah disalah tafsirkan oleh media  massa. Namun setelah mendengar dan membaca beberapa kali kenyataan tersebut saya gagal untuk melihat di mana letaknya unsur metafora yang dimaksudkan tersebut.



Satu ketika dahulu Tun M pernah diselar oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat setelah beliau memetik satu peribahasa Inggeris berikut “better the devil you know than the angel you don’t”. Jelas ini adalah satu peribahasa yang memberi maksud secara metafora tentang sesuatu perkara tersebut. Apakah pula metafora di sebalik kenyataan TGNA? Menyatakan bahawa rakyat yang menerima bantuan BR1M sebagai bodoh dan mudah terpedaya?

Saya berpendapat bahawa kenyataan ini adalah berunsur nakal dan cemerkap oleh seorang ahli politik yang sepatutnya mempunyai pengalaman yang lama di di dalam arena politik Negara.   Acapkali diwar-warkan oleh media massa sikap berlumba-lumba parti politik dari pihak kerajaan dan juga pembangkang untuk memberi bantuan kepada rakyat jelata. Malahan di dalam Manifesto Rakyat yang dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat baru-baru ini, banyak cadangan bantuan wang ringgit telah dimasukkan sebagai janji mereka kiranya berkuasa kelak.

Sebagai contoh Pakatan Rakyat telah berjanji untuk mencarum sejumlah RM50-00 sebulan buat semua isteri-isteri bagi menjaga kebajikan wanita dan RM1,000-00 setahun pula buat semua warga emas. Alangkah indahnya dunia seperti yang digambarkan oleh Pakatan Rakyat ini. Tetapi apabila merujuk kembali kepada komen TGNA dan Hadi Awang terhadap bantuan BR1M, tidakkah ini kelihatan seperti “paku dulang paku serpih, kata orang dia yang lebih?”



Kemuncaknya, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula hari ini mencabar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengeluarkan fatwa mengharamkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). Ini adalah disebabkan oleh kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyatakan bahawa pemberian BR1M adalah amalan Firaun.

"Jika mereka tidak haramkan, ini bermakna apa yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah kerja amal dan untuk membantu rakyat supaya lebih sejahtera, bahagia, dan boleh gunakan bantuan itu untuk menguruskan keperluan keluarga mereka” ujar Tan Sri Muhyiddin.

Kesimpulannya, rakyat perlu menilai sendiri bantuan-bantuan kerajaan yang diberikan bagi mengurangkan beban mereka. Tidak semestinya penerimaan BR1M ini adalah sebagai bukti tanda aras sokongan rakyat kepada kerajaan Barisan Nasional.  Malahan kerajaan Barisan Nasional masih punya perjalanan yang panjang bagi meyakinkan keseluruhan rakyat agar menerima polisi-polisi mereka. Apa yang jelas Rakyat gembira dan berterima kasih di atas pemberian BR1M tersebut. Jika ada niat tersembunyi pihak Kerajaan, hanya Tuhan yang maha mengetahui.

@zulazry

P/S: Telah disiarkan di dalam laman web Barisan Nasional