Friday, May 10, 2013

Rasiskah Masyarakat kita?

Sedang saya menanti kereta dibasuh sebelum memulakan perjalanan ke Alor Star, saya terpandang satu kumpulan pemuda. Mereka sedang minum dan nampaknya sedang menikmati perbualan yang agak rancak. Menariknya kumpulan ini terdiri daripada anak-anak muda Melayu dan juga Cina.

Mereka mungkin tidak langsung ambil pusing tentang situasi politik semasa yang kononnya telah memecahkan perpaduan kaum di Malaysia. Hilai tawa mereka tidak langsung mencerminkan apa yang diwar-warkan di seluruh negara. Saya percaya masyarakat Malaysia sudah cukup matang untuk menghadapi kemelut sosio-politik yang disebabkan oleh politik kotor sesetengah pihak.

Saban hari kita hidup dengan harmoni bersama kaum lain tanpa langsung memikirkan tentang permasalahan yang kononnya dihadapi negara. 13 Mei? Tanyalah orang muda sekarang, saya berani jamin tidak ramai yang mengetahuinya dan mungkin langsung tidak ambil kisah tentangnya. Apakah mereka perlu tanggung dosa lampau yang seringkali menghantui generasi pra merdeka?

Masyarakat di kampung juga tidak pernah hadapi "masalah" ini kerana mereka telah lama hidup dengan aman bersama kaum-kaum lain. Sifat saling hormat menghormati ini sangat unik di dalam negara kita ini dan tidak akan dapat dipersoalkan oleh sesiapa pun. Apatah lagi oleh para politikus yang hanya mahu mencorakkan masyarakat mengikut kehendak dan acuan mereka tersendiri.

Situasi pasca PRU13 tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam masyarakat kita. Apa yang pasti kempen berterusan oleh PR dan BN telah menghasilkan satu keputusan yang tidak sihat. Apa pun Barisan Nasional harus ambil iktibar daripada keputusan ini.Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memenangi hati pengundi Cina. Jangan salahkan mereka kerana tidak mengundi anda!

Namun saya yakin perpaduan kaum dalam negara tidak akan tercalar hanya kerana kempen keterlaluan oleh PR dan juga BN. Kumpulan anak muda yang saya lihat tadi memberi sekelumit harapan bahawa perpaduan antara kaum masih lagi utuh dalam negara kita.

@zulazry

P/s: Pls put a leash on "so called" BN friendly bloggers who wantonly   published racial slurs! 

No comments:

Post a Comment