Friday, May 10, 2013

PAS Redha keputusan #PRU13, tempelak #black505


Dewan Ulama PAS sekali lagi dilihat telah membuat keputusan yang sama sekali bertentangan dengan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat. Ini jelas apabila mereka menzahirkan bantahan mereka terhadap perhimpunan #black505 yang diadakan di Kelana Jaya kelmarin. Dewan Ulama PAS melalui ketua mereka Datuk Harun Taib menasihatkan semua agar menerima keputusan Pilihan Raya kali ini dengan hati terbuka.

Namun seperti kebiasaannya, suara Dewan Ulama PAS tidaklah begitu berpengaruh kerana sudah acapkali sebelum ini diabaikan oleh pucuk pimpinan Pakatan Rakyat. Malahan sokongan padu yang diterima oleh Anwar Ibrahim semasa perhimpunan #black505 adalah isyarat jelas bahawa mereka serius mahu membantah keputusan pilihan raya ini. 



DAP pula dilihat mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" mengenai niat Anwar Ibrahim mahu memanjangkan bantahan pilihan raya ini secara meluas. Ini mungkin kerana DAP telah berjaya memenangi jumlah kerusi terbanyak kali ini dan dilihat sebagai lebih dominan berbanding PAS dan PKR. Pecahan demografi di dalam Pakatan Rakyat sedikit sebanyak telah menzahirkan satu dinamik yang jauh berbeza berbanding PRU12. Seolah satu "master-stroke", kedudukan Pakatan Rakyat hakikatnya kini semakin rapuh. Barisan Nasional seolah seperti sudah merancang strategi  sebegini agar keputusan Pilihan Raya kali ini menampakkan kelemahan ketara pada Pakatan Rakyat. 

Apapun, mengenali insan bernama Anwar Ibrahim, beliau tidak akan berputus asa dalam usaha beliau mahu bergelar Perdana Menteri Malaysia. Dewan Ulama PAS bukanlah satu halangan besar di mata beliau dan setiap kaedah akan digunakan walaupun dengan cara "jalanan" ala-ala "Malaysia Spring".

Sudah-sudahlah Anwar. Rakyat sudah penat.

@zulazry 

P/S: Dengarlah nasihat Ulama PAS wahai Anwar Ibrahim

No comments:

Post a Comment