Monday, May 20, 2013

Tentang Facebook Dan Politik

Facebook telah terbukti menjadi satu wacana yang berbisa sepanjang Pilihan Raya ke 13 baru-baru ini (PRU13). Tetapi saya tidak mahu bicara mengenai politik dan siapa menang atau kalah. Satu aspek yang ingin saya utarakan di sini ialah penggunaan akaun Facebook kita untuk tujuan politik.

Setiap orang yang mempunyai akaun Facebook mempunyai cara tersendiri tentang bagaimana akaun mereka dikendalikan ketika PRU13. Ada yang lantang bersuara berkempen untuk parti pilihan masing-masing dan ada juga yang bersikap berdiam diri. Walaupun saya mempunyai minat di dalam politik, bercakap berkenaannya di Facebook terasa sedikit janggal.


Saya perlu menghormati juga rakan-rakan dan keluarga yang tidak sealiran dengan saya. Apatah lagi banyak perkara di dalam Facebook yang kadang kala boleh menimbulkan perbalahan. Oleh itu kalau saya berasa bersemangat hendak berhujah politik, saya berkunjung ke "Page" atau "Group" yang memang sudah jelas berunsur Politik. Oleh itu, susurmasa Facebook saya tidaklah telampau padat dengan unsur politik.

Fikir sendiri, adakah rakan-rakan anda suka membaca "posting" politik keterlaluan sampaikan setiap kali membuka susurmasa, ada sahaja isu politik? Tidak kira anda BN atau PR, cukup-cukuplah politiknya ya.


P/S: Saya suka layan politik di Twitter!

Thursday, May 16, 2013

Restoran Mamak menyatukan kita?

Satu perkara yang kadang-kadang saya tidak faham ialah kenapa restoran mamak begitu digemari oleh seluruh rakyat Malaysia. Tidak kira tua atau muda, melayu atau cina; restoran mamak cukup sinonim di seantero negara. Harga mahal, kualiti makanan yang kadangkala "substandard" tidak menjadi halangan buat rakyat untuk memenuhi restoran mamak siang dan malam.


Mungkin ini yang dikatakan semangat 1Malaysia seperti yang dibawa oleh pihak kerajaan. Satu tempat yang mana sesiapa sahaja tidak akan merasa kekok dilihat bersama rakan dan taulan. Namun Restoran Mamak mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan sering menjadi titik pertemuan masyarakat di seluruh Malaysia. Ini kemungkinan merupakan satu contoh terbaik integrasi kaum yang berjaya dalam negara.

Jika makanan boleh satukan kita, apatah lagi perkara-perkara lain?

@zulazry

Mengapa "Red Bean Army" begitu berani sekali? #TolakPR #black505

Media Sosial jelas terus menjadi senjata ampuh Pakatan Rakyat di dalam menjana sokongan di dalam PRU13 baru-baru ini. Facebook, Twitter, Youtube, Instagram dan Blog terus jadi platform PR untuk menyebar dakyah mereka kepada rakyat. Barisan Nasional jelas agak terbelakang walaupun kehadiran mereka kian dirasai di alam maya. Namun pendedahan tentang kewujudan "Red Bean Army" (RBA) oleh salah seorang bekas orang kuat DAP jelas menunjukkan gerak kerja tersusun mereka selama ini. Sebenarnya tidak ada apa yang salah, tetapi penyebaran fitnah demi fitnah oleh RBA terhadap kerajaan Barisan Nasional amatlah dikesali.


Persoalannya sekarang: Mengapa RBA ini begitu berani sekali? RBA ini terdiri daripada pengendali akaun-akaun Facebook dan Twitter yang menggunakan nama samaran. Pelbagai watak yang dicipta mereka dan gerakan mereka mungkin sukar dikesan pada awalnya. Dalam Facebook berbahasa Melayu dan Bahasa Inggeris tidak ketara sangat kewujudan mereka. Serangan paling ganas berlaku di dalam Facebook berbahasa Cina. Kata-kata kesat menjadi sajian RBA buat sesiapa yang tidak menyokong PR.



Seorang sahabat saya berbangsa Cina menyatakan bahawa sesiapa yang tidak menyokong Pakatan Rakyat akan diherdik dengan kata-kata kesat di dalam Facebook. Malahan anak saudara beliau yang masih bersekolah rendah telah dipaksa rakan beliau untuk menggunakan "avatar" hitam sebagai tanda sokongan kepada PR. Kerajaan harus ambil tindakan tegas kepada penyebar-penyebar fitnah ini yang kian menjadi-jadi khususnya semasa kemuncak PRU13 baru-baru ini. 


Fitnah terbaru tentang kenaikan harga roti Gardenia juga pantas disebar oleh pasukan RBA ini sehinggakan seluruh rakyat seolah terpedaya. Baca di sini Tidak mengejutkan pihak PR lantang menentang pelaksanaan S.114A Akta Keterangan. Akta yang akan beri kuasa kepada kerajaan untuk mendakwa penyebar fitnah walaupun mereka menggunakan akaun samaran. 



Tidak mustahil pasukan RBA ini diberi dana yang tinggi serta dijamin keselamatan mereka oleh pasukan Peguam handalan Pakatan Rakyat. Mereka tidak berprinsip dan tidak peduli samada fakta yang dihebahkan tersebut benar atau sebaliknya. Sudah tiba masanya agar ruang legar alam maya ini dikawal selia oleh pihak kerajaan dengan lebih teliti. Jangan biarkan penyebar-penyebar fitnah ini bermaharajalela dan menghancurkan masa depan negara.

@zulazry

P/S: Barisan Nasional harus gandakan usaha bagi memerangi RBA 

Ketegasan Zahid Hamidi Bakal Perkasakan Kementerian Dalam Negeri



Pelantikan Datuk Seri Zahid Hamidi sebagai Menteri Dalam Negeri ternyata amat dialu-alukan oleh semua rakyat di Malaysia. Ketegasan dan sikap "no-nonsense" beliau begitu ketara apatah lagi ketika kemuncak peristiwa pencerobohan Geng Kiram. Pada ketika itu Mantan beliau dilihat seolah terlampau berlembut dengan penceroboh tersebut dan akibatnya 10 orang wira negara telah gugur. Apa pun setiap pemimpin mempunyai pendekatan tersendiri dan yang penting krisis tersebut kini telah berakhir.

Namun begitu, tugas yang lebih penting kini menanti beliau khususnya berkenaan situasi pasca Pilihan Raya ke 13 ini. Demonstrasi demi demonstrasi yang dijalankan Pakatan Rakyat di seluruh negara semakin menguji kesabaran pihak kerajaan. Rakyat juga rasa amat marah kerana kumpulan ini dilihat seolah diberi laluan bebas untuk berhimpun dan melakukan apa sahaja. 

Ramai yang mempersoalkan "leeway" yang diberikan pihak Polis Diraja Malaysia kepada pihak Pakatan Rakyat untuk membuat perhimpunan. Ada yang mempersoalkan kenapa mereka seolah diberi lesen besar untuk menghasut rakyat untuk memberontak. Anwar Ibrahim sebagai Pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat seharusnya menenangkan penyokong-penyokong beliau dan ambil saluran undang-undang untuk membantah. Namun beliau lantang menempelak SPR dan juga kerajaan. Hishamuddin Rais sebagai contoh telah beberapa kali dilaporkan akan membawa rakyat menentang kerajaan di jalanan. 

Datuk Seri Zahid Hamid harus segera duduk bersama Ketua Polis yang baru untuk menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan terhadap pimpinan Pakatan Rakyat. Gerakan #black505 dilihat sebagai satu platform buat Anwar Ibrahim untuk mencabar kesahan kerajaan baru pimpinan Barisan Nasional.  Suara-suara "Malaysian Spring" semakin kedengaran di dalam lama-laman Facebook serta Twitter. Kementerian Dalam Negeri harus ambil tindakan proaktif bagi memastikan kestabilan sosio-ekonomi negara.

Satu ruang yang perlu diberi penekanan khusus adalah aspek pemerhatian media sosial. Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi menangkis serangan alam maya yang dilihat kini semakin menjadi-jadi. Menyebarkan fitnah dengan sewenang-wenangnya terhadap kerajaan dan menghasut rakyat agar menentang kerajaan.

Terbaru, Datuk Seri Zahid Hamidi dilaporkan berkata bahawa sesiapa yang tidak puas hati dengan sistem politik negara harus berhijrah ke luar negara.   Baca di sini. Ketegasan sebegini amat dinantikan oleh rakyat yang kian muak dengan politik tanpa had Anwar Ibrahim dan sekutu-kutunya.

@zulazry

P/S: Masih menanti pengumuman nama 3 orang pemimpin pembangkang yang dikatakan terlibat dengan pencerobohan Geng Kiram

Wednesday, May 15, 2013

Pakatan Rakyat Hipokrit Raikan Kemenangan #PRU13

Saya berkesempatan bersembang dengan orang kampung masa balik Alor Star tempoh hari. Seperti biasa topik politik masih jadi perbualan hangat apatah lagi dengan kemenangan Barisan Nasional di Kedah. Saya berbual dengan Pak Umar "Misai", seorang orang lama di Pekan Langgar. Antara perkara yang tarik perhatian saya ketika berbual dengan beliau ialah, betapa majoriti rakyat Kedah tidak kira dari BN atau PR menyenangi  Menteri Besar baru Kedah, Dato Paduka Mukhriz Mahathir. 

Seperkara yang dikesali oleh golongan akar umbi ialah sikap bermuka-muka yang diambil oleh pihak Pakatan Rakyat berkenaan dengan keputusan PRU13 ini. Pakatan Rakyat seolah mempermainkan sistem demokrasi negara apabila membantah keputusan PRU13 dengan melancarkan demonstrasi besar-besaran di seluruh negara. Namun begitu tidak pula membantah keputusan di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Orang ramai sudah semakin muak dengan jenama politik yang dibawa oleh Anwar Ibrahim! Klasik Orwellian! 


Hishamudin Rais baru-baru ini berkata bahawa mereka membantah keputusan di 30 kerusi yang Pakatan Rakyat kalah. Tidakkah ini persis sikap "sore losers" yang tidak dapat menerima hakikat bahawa Pakatan Rakyat masih belum berjaya memecah dominasi Barisan Nasional? Tidak ada satu pun bukti kukuh yang dikemukakan sehingga kini tentang tuduhan PR bahawa PRU13 ini kotor. Hanya tohmahan"standard"  yang dilagukan tiap kali Pilihan Raya diadakan. 

Seolah menjangka kekalahan mereka, gerakan membantah keputusan ini dilihat agak terancang di seluruh negara. Dalam tempoh tidak sampai dua minggu, Anwar Ibrahim seperti biasa berjaya mentarbiyah pengikut-pengikut beliau agar membantah keputusan pilihanraya. Malah bantahan jalanan juga menjadi salah satu pilihan mereka andai kata itu sahaja jalan yang ada. Bukankah PR punya barisan peguam yang handal-handal belaka. Buatlah persediaan jitu untuk memfailkan petisyen pilihanraya. 

Lagi satu, majlis kesyukuran pun nak buat ke kalau bantah beria-ria? 

@zulazry 

P/S: Ikutlah nasihat Dr.Maza ni



Sunday, May 12, 2013

US Gagal kuasai Asia setelah Anwar gagal tumbangkan BN? #tolakPR #black505

Cubaan Amerika Syarikat untuk menguasai Malaysia punyai sebab yang sangat jelas iaitu untuk mengekang penguasaan Ekonomi kuasa besar ASIA, China. Sebelum ini ramai penulis yang telah menulis dengan terperinci berkenaan isu ini namun tidak siapa yang mahu mempercayainya. Apatah lagi golongan yang Pro Pakatan Rakyat akan menyatakan bahawa ini adalah cubaan Barisan Nasional untuk memburukkan lagi nama mereka. 


Isyarat-isyarat yang telah diberikan sebelum ini cukup jelas dan segala petunjuk akan berakhir di Amerika Syarikat. Kedudukan strategik Malaysia di rantau Asia memberikan keistimewaan di dalam kerangka ekonomi kerana peri pentingnya Selat Melaka dan Laut China Selatan. Hubungan diplomatik yang baik di antara Malaysia dan China juga telah disemai sekian lama, oleh yang demikian Malaysia punya keistimewaan yang tersendiri.

Di mana kaitan semua ini dengan Anwar?

Anwar jelas sekali telah lama mendapat "layanan istimewa" oleh sekutu beliau dari Amerika Syarikat. Ini semua bukannya satu rahsia lagi dan sekiranya carian dibuat secara terperinci di Laman sesawang, nama beliau acapkali dikaitkan dengan beberapa agensi Pro-zionis di Amerika Syarikat. Bukan setakat itu, beliau pernah memegang jawatan penting di dalam perlbagai agensi seperti World Bank, International Monetary Fund (IMF), dan juga sebagai pensyarah di John Hopkins University. Selain daripada itu beliau telah beberapa kali dipanggil sebagai panelis di majlis kelolaan National Endowment for Democracy. Agensi sama yang membiayai gerakan BERSIH di Malaysia.

Apakah Anwar Ibrahim betul-betul punya niat suci untuk menjuarai suara rakyat Malaysia atau hanya sebagai proksi kuasa besar barat? Global Research, satu agensi antarabangsa dalam satu tulisan bertajuk Malaysia:Failure of US to Subvert the Elections and Install a "Proxy Regime"  telah memberi gambaran jelas tentang isu ini. Segala petunjuk adalah sangat jelas dan kadangkala menakutkan apabila difikirkan. Betapa seorang individu sanggup lakukan apa sahaja hanya untuk mendapat kuasa di Putrajaya.

Setelah gagal untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, kini Anwar Ibrahim dengan gerombolan beliau sedang laksanakan gerak gempur #Black505. Modus Operandinya mudah, bangkitkan amarah rakyat dan tanam fahaman pada mereka bahawa undi mereka telah dirompak. Di mana janji beliau yang mahu bersara sekiranya tidak berjaya ke Putrajaya? Lihat rakaman kenyataan beliau di pautan ini Saya yakin kita menang,kalau kalah saya akan bersara

@zulazry 

P/S: Bukalah mata anda dan nilai sendiri perjuangan yang dibawa Anwar Ibrahim serta Pakatan Rakyat ini. 

Friday, May 10, 2013

PAS Redha keputusan #PRU13, tempelak #black505


Dewan Ulama PAS sekali lagi dilihat telah membuat keputusan yang sama sekali bertentangan dengan pucuk pimpinan Pakatan Rakyat. Ini jelas apabila mereka menzahirkan bantahan mereka terhadap perhimpunan #black505 yang diadakan di Kelana Jaya kelmarin. Dewan Ulama PAS melalui ketua mereka Datuk Harun Taib menasihatkan semua agar menerima keputusan Pilihan Raya kali ini dengan hati terbuka.

Namun seperti kebiasaannya, suara Dewan Ulama PAS tidaklah begitu berpengaruh kerana sudah acapkali sebelum ini diabaikan oleh pucuk pimpinan Pakatan Rakyat. Malahan sokongan padu yang diterima oleh Anwar Ibrahim semasa perhimpunan #black505 adalah isyarat jelas bahawa mereka serius mahu membantah keputusan pilihan raya ini. 



DAP pula dilihat mengambil pendekatan "tunggu dan lihat" mengenai niat Anwar Ibrahim mahu memanjangkan bantahan pilihan raya ini secara meluas. Ini mungkin kerana DAP telah berjaya memenangi jumlah kerusi terbanyak kali ini dan dilihat sebagai lebih dominan berbanding PAS dan PKR. Pecahan demografi di dalam Pakatan Rakyat sedikit sebanyak telah menzahirkan satu dinamik yang jauh berbeza berbanding PRU12. Seolah satu "master-stroke", kedudukan Pakatan Rakyat hakikatnya kini semakin rapuh. Barisan Nasional seolah seperti sudah merancang strategi  sebegini agar keputusan Pilihan Raya kali ini menampakkan kelemahan ketara pada Pakatan Rakyat. 

Apapun, mengenali insan bernama Anwar Ibrahim, beliau tidak akan berputus asa dalam usaha beliau mahu bergelar Perdana Menteri Malaysia. Dewan Ulama PAS bukanlah satu halangan besar di mata beliau dan setiap kaedah akan digunakan walaupun dengan cara "jalanan" ala-ala "Malaysia Spring".

Sudah-sudahlah Anwar. Rakyat sudah penat.

@zulazry 

P/S: Dengarlah nasihat Ulama PAS wahai Anwar Ibrahim

Rasiskah Masyarakat kita?

Sedang saya menanti kereta dibasuh sebelum memulakan perjalanan ke Alor Star, saya terpandang satu kumpulan pemuda. Mereka sedang minum dan nampaknya sedang menikmati perbualan yang agak rancak. Menariknya kumpulan ini terdiri daripada anak-anak muda Melayu dan juga Cina.

Mereka mungkin tidak langsung ambil pusing tentang situasi politik semasa yang kononnya telah memecahkan perpaduan kaum di Malaysia. Hilai tawa mereka tidak langsung mencerminkan apa yang diwar-warkan di seluruh negara. Saya percaya masyarakat Malaysia sudah cukup matang untuk menghadapi kemelut sosio-politik yang disebabkan oleh politik kotor sesetengah pihak.

Saban hari kita hidup dengan harmoni bersama kaum lain tanpa langsung memikirkan tentang permasalahan yang kononnya dihadapi negara. 13 Mei? Tanyalah orang muda sekarang, saya berani jamin tidak ramai yang mengetahuinya dan mungkin langsung tidak ambil kisah tentangnya. Apakah mereka perlu tanggung dosa lampau yang seringkali menghantui generasi pra merdeka?

Masyarakat di kampung juga tidak pernah hadapi "masalah" ini kerana mereka telah lama hidup dengan aman bersama kaum-kaum lain. Sifat saling hormat menghormati ini sangat unik di dalam negara kita ini dan tidak akan dapat dipersoalkan oleh sesiapa pun. Apatah lagi oleh para politikus yang hanya mahu mencorakkan masyarakat mengikut kehendak dan acuan mereka tersendiri.

Situasi pasca PRU13 tidak mencerminkan keadaan sebenar dalam masyarakat kita. Apa yang pasti kempen berterusan oleh PR dan BN telah menghasilkan satu keputusan yang tidak sihat. Apa pun Barisan Nasional harus ambil iktibar daripada keputusan ini.Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi memenangi hati pengundi Cina. Jangan salahkan mereka kerana tidak mengundi anda!

Namun saya yakin perpaduan kaum dalam negara tidak akan tercalar hanya kerana kempen keterlaluan oleh PR dan juga BN. Kumpulan anak muda yang saya lihat tadi memberi sekelumit harapan bahawa perpaduan antara kaum masih lagi utuh dalam negara kita.

@zulazry

P/s: Pls put a leash on "so called" BN friendly bloggers who wantonly   published racial slurs! 

Nik Aziz Akan Ludah Orang UMNO yg Hulur Tangan Perpaduan #TolakPR



Perasaan Benci Tuan Guru Nik Aziz pada UMNO sungguh tebal sekali walaupun di ambang persaraan beliau. Apa yang membuatkan beliau sungguh membenci tangan orang Melayu Islam lain yang ingin bersatu padu dengan mereka, saya pun tidak pasti. Saya sendiri bukanlah penyokong kuat gabungan di antara PAS dan UMNO kerana saya rasa, PAS sekarang tidak semurni yang dahulu. Apa bezanya PAS skrg dengan UMNO? Hanya pada Serban dan Songkok?

P/s:  Sifat ulama ke ni?

Wednesday, May 8, 2013

Rakyat Malaysia Dihina Ketika Mengundi! #black505


Sikap paranoid yang ditanam pimpinan Pakatan Rakyat ke dalam hati dan sanubari penyokong tegar mereka sungguh menjengkelkan. Ini adalah rakaman yang diperolehi dari laman Youtube. Lihatlah betapa terhinanya rakyat Malaysia yang dituduh sebagai warga asing. Persoalannya, apakah hak mereka untuk meminta I.C rakyat lain? Hanya pihak berkuasa seperti Polis dan juga pegawai SPR sahaja yang berkuasa. Tindakan seperti ini bukan sahaja salah di sisi undang-undang, tetapi sungguh memalukan!

Mengikut tuduhan Anwar Ibrahim, ada 40,000 orang warga asing Bangladesh yang dibawa masuk untuk mengundi Barisan Nasional. Soalan mudah saya, berapa orang yang sudah ditangkap setakat ini oleh polis tidak bertauliah ini? Saya setuju dengan dakyah #black505. Insiden-insiden sebeginilah yang menjadikan tarikh 5.5.2013 sebagai detik hitam demokrasi negara kita!

Apakah perasaan anda sekiranya diperlakukan sebegini?



Siasatan yang menyeluruh harus dilakukan dan pihak yang membuat onar harus dihadap ke muka pengadilan. Biarlah ini dijadikan iktibar buat semua rakyat agar ambil langkah sederhana di dalam berpolitik. Jangan terlampau taksub sehingga sanggup menjadi alat untuk kelangsungan politik pemimpin anda.

@zulazry

P/S: Siapa yang rasis sekarang?

Himpunan Suara Keramat Rakyat bakal tabal Anwar sebagai PM? #Black505

Hebat sungguh aura Anwar Ibrahim semasa Himpunan Suara Keramat Rakyat malam tadi. Himpunan yang menjana kehadiran puluhan ribu penyokong tegar Pakatan Rakyat membawa satu misi khas iaitu membantah keputusan Pilihan Raya ke 13. Hakikatnya perkara ini telah pun diramal belaku oleh kebanyakan penganalisis politik tanah air. Malahan segala gerak geri Pakatan Rakyat kini sudah terlalu mudah untuk dibaca oleh rakyat. 


Saya berkesempatan menghadiri perhimpunan tersebut dan cuba untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh pemimpin-pemimpin yang berucap. Memandangkan niat utama mereka adalah untuk membantah keputusan pilihan raya, saya menanti sebarang bukti yang akan dibawa oleh mereka. Apa yang saya nampak hanyalah cubaan mereka untuk menaikkan rasa benci rakyat kepada SPR dan juga Barisan Nasional. Saya rasa mereka tidak perlu bersungguh berbuat demikian kerana semua yang hadir sudah tentu membenci kerajaan.


Setiap pemimpin yang diberi peluang untuk berucap membawa nada yang serupa. Mereka mengatakan SPR tidak telus. Mereka mendakwa BN bawa 40,000 warga bangladesh untuk mengundi. Mereka kata BN menang tipu sebab "blackout". Mereka kata helikopter digunakan untuk membawa 2 peti undi. Namun sehingga akhir perhimpunan #black505 semalam, mereka masih gagal kemuka bukti senarai nama 40,000 yang dimaksudkan dan tunjuk bukti kukuh kejadian "black out" tersebut? Hanya jerit pekik pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyemarakkan rasa benci pada Kerajaan Barisan Nasional.


Malahan ada juga di kalangan pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang sanggup memberi peringatan bahawa ulangtahun peristiwa 13 Mei akan tiba tidak lama lagi. Untuk apakah sejarah hitam ini diulangi? Tidak ada langsung kaitan di antara peristiwa 13 Mei dengan Himpunan Suara Keramat Rakyat ini. Ironinya, kerajaan Pakatan Rakyat segera membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Kelantan? Sistem pilihan raya yang sama juga dijalankan di sana dan kini mereka katakan bahawa SPR tidak telus?


Malahan majoriti pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap di atas pentas di Stadium Kelana Jaya semalam berjaya memenangi kerusi Pilihan Raya yang ditandingi mereka! Apa yang jelas Anwar memang punya aura dan lantang apabila berhujah! Malahan sesiapa sahaja boleh terpengaruh dengan setiap bait kata-kata yang diucapkan beliau. Namun pada saya himpunan semalam hanyalah satu lagi platform buat Anwar menghidupkan sisa-sisa peluang beliau untuk ke Putrajaya.

Tidak hairanlah ada di kalangan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang sudah merasa penat dengan perjuangan kosong Anwar Ibrahim ini. Cukuplah mengheret rakyat bersama kegagalanmu Anwar. Himpun segala data, faillah Petisyen Membantah Pilihan Raya. Itu sahaja jalan terakhir yang ada.

@zulazry 

P/S: Takut dengan bayang-bayang sendiri? 

Tsunami "UBAH" bantu kemenangan Pakatan Rakyat? #GE13 #PRU13

Pilihan Raya ke 13 yang baru sahaja berakhir menimbulkan pelbagai persoalan di dalam usaha pembinaan negara. Hakikatnya Barisan Nasional telah gagal untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di dalam Parlimen. Walaupun Barisan Nasional berjaya mendapat mandat untuk memerintah dengan majoriti mudah, banyak persoalan yang timbul terutamanya kekuatan perikatan Barisan Nasional.

Semua orang memperkatakan tentang "Tsunami Cina" yang melanda negara walhal pada pendapat saya ini tidak tepat. Pihak Pakatan Rakyat sebenarnya telah berjaya membawa satu jenama secara konsisten di dalam usaha mereka menentang Barisan Nasional. Jenama "UBAH" yang selama ini dicanang secara tersusun oleh laskar-laskar Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk "mindset" pengundi-pengundi muda dalam mereka membuat pilihan.

Buka sahaja laman Facebook dan buat carian "UBAH" dan anda akan dapat lihat betapa tersusun dan lantang pihak pelopor jenama ini. Setiap apa yang dicanangkan oleh "UBAH" walaupun tidak benar atau separa benar dicanangkan secara maksima. Lihat sahajalah bagaimana cerita tentang "blackout" ini direkayasa sehingga seluruh Malaysia memperkatakannya dalam tempoh yang singkat. Orang tidak peduli walaupun ada yang memberi penjelasan yang munasabah kerana mereka sudah tidak peduli pada fakta. Apa yang mereka tahu Anwar Ibrahim adalah benar dan apa sahaja yang keluar dari mulut Ketua Pembangkang adalah "wahyu"!


Ini adalah hakikat pahit yang perlu diambil iktibar oleh pihak Barisan Nasional. Tidak perlu jadi seorang penganalisa politik dari pertubuhan "think-tank" terkemuka untuk membuat andaian ini kerana pihak Pakatan Rakyat sebenarnya sudah lama bertapak dalam alam maya. Minda penyokong tegar dan juga majoriti senyap di telah dirawat secara sistematik dalam tempoh yang lama supaya membenci apa sahaja berkaitan kerajaan Barisan Nasional.


Pada masa yang sama, minda penyokong Pakatan Rakyat juga telah dibutakan terhadap sebarang salah laku yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Pihak Barisan Nasional telah berjaya mengurangkan sedikit pengaruh gelombang "UBAH" di dalam alam maya namun ini tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat terutama DAP daripada mencatatkan keputusan cemerlang dalam PRU13.

Oleh itu, "Tsunami Cina" bukanlah ukuran yang tepat terhadap kegagalan pihak Barisan Nasional untuk mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam PRU13. Sebenarnya, pola undi rakyat kini berpecah kepada banyak kategori dan satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mendapatkan gambaran yg lebih jelas. Sebagai contoh, Individu seperti Rafizi Ramli dan juga Zairil berjaya menang di tempat majoriti kaum cina dan menentang lawan kaum cina. Apa penjelasannya di sini? Cuba kaji kerusi-kerusi di bawah seperti yang dikongsi di laman FB sahabat saya.


Saya juga sangat kecewa apabila golongan Melayu Ultra meletakkan 100% kesalahan terhadap MCA yang telah gagal untuk menyumbangkan kemenangan seperti yang dijanjikan. Semangat kerjasama harus diteruskan kerana semangat inilah yang selama ini membawa kejayaan kepada Barisan Nasional sejak kemerdekaan lagi. UMNO juga pernah gagal sebelum ini dan MCA & MIC berada bersama mereka. Kenapa kini semua pihak meletakkan beban hanya pada MCA? Datuk Seri Najib Razak juga harus memikul tanggungjawab selaku pengerusi Barisan Nasional!


Trend kemenangan tipis pilihanraya juga dialami di UK dan juga USA. Media Sosial seperti Twitter, Facebook dan juga Youtube menjadi senjata ampuh parti politik dalam mebawa mesej mereka. Apapun, Pilihan Raya telah tamat dan setiap komponen Parti dalam Barisan Nasional harus segera lakukan "bedah siasat" bagi mencari segala kelemahan yang ada dan atasi semuanya. Barisan Nasional masih lagi relevan dan kerjasama ini harus diteruskan agar usaha pembinaan negara dapat dijalankan dengan lancarnya.

@zulazry 


P/S. Please stop all the crap about MCA not performing! UMNO didn't fair well either! 

Tuesday, May 7, 2013

Kemenangan Barisan Nasional disebabkan "Black Magic"? #TolakPR

Seperti dijangka Barisan Nasional kembali diberi mandat selepas memenangi PRU13 yang baru berakhir semalam.Tapi seperti biasa juga suara-suara sumbang mula kedengaran terutamanya di laman media sosial.

Perkara yang paling hangat dicernakan oleh kilang fitnah Pakatan Rakyat ialah kejadian "blackout" yang dikatakan berlaku di beberapa pusat penjumlahan undi seluruh negara. Mengikut cerita hikayat ini, tiba-tiba angin bertiup kencang dan suasana gelap melanda ketika pengiraan undi dilakukan. Kemudian secara magis timbul beberapa kotak peti undi di hadapan petugas-petugas SPR.

Dalam masa yang sama juga para pemerhati "counting agents" dari semua parti terlibat yang ada di sana tiba-tiba seperti dipukau kerana tidak menyedari dari mana munculnya kotak ajaib tersebut. Mungkin pengarah Strategik Rafizi Ramli boleh bagi penerangan beserta bukti menggunakan "greenscreen" bagi menyokong khabar angin ini.

Saya nak kongsi screen print yang dikongsi oleh sahabat saya. Posting FB ini dibuat oleh seorang wartawan Oriental Daily yang berada di tempat penjumlahan undi Bentong. Wartawan yang Pro PR ini berkata beliau hairan apabila media sosial DAP mengumumkan kemenangan Wong Tuck walaupun pengiraan belum selesai.

Kemudian apabila Liow Tiong Lai diumumkan sebagai pemenang dengan majoriti yang tipis, tiba-tiba keluarlah hikayat "blackout". Sepantas kilat cerita palsu ini tersebar di dalam Media Sosial. Hebat juga permainan wayang opera mereka kali ini.Tapi nak tipu siapa? Gerakannya cukup tersusun sekali dan hari ini semua orang memperkatakannya.

Kalau betul BN boleh "kawtim" SPR, buatlah bagi menang 2/3 majoriti! Baru meletop!




"Although I look down and hated Barisan Nasional, but I am even more despise people who spread unsubstantiated remarks over the internet.

As one of those who stationed at Bentong constituency, I think I have the responsibility to tell everyone what actually happened.

1) It's only at 10.45 pm the polling station officially confirmed that Wong Tack has lost to Liow Tiong Lai. However, news on "Wong Tack defeats Liow Tiong Lai" had started to spread over the internet around 10 pm. In fact, at that time, Wong Tack was only leading by about 4,000 votes.

2) The headquarter of Bentong vote-counting centre has never had blackout!!!!
Please do not simply believe in news announced over the internet to an irrational extent. Over!!!"


General Kedai Kopi dan Kolonel Papan Kekunci


Baru-baru ini saya menghadiri satu majlis akad nikah dan ketika menikmati jamuan saya terdengar seorang pemuda lingkungan 30 an sedang asyik menghentam kerajaan. Saya tidak ambil pusing sangat kerana perkara ini adalah normal dalam sistem politik kepartian negara kita. Namun begitu selera saya sedikit terganggu apabila mereka mula membahaskan tentang pencerobohan pengganas Kiram dan merumuskan bahawa apa yang berlaku di Sabah telah dirancang oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Dalam negara menghadapi krisis keselamatan yang paling hebat dewasa ini, saya merasa sangat marah melihat segelintir rakyat yang mudah melempar tohmahan negatif kepada kerajaan dan pasukan keselamatan kita. Setakat ini sepuluh (10) orang anggota keselamatan kita telah gugur di dalam krisis di Lahad Datu dan Semporna. Adakah itu juga dirancang kerajaan? Air mata yang mengalir pada waris-waris perwira negara yang gugur juga palsu belaka?

Semua ini bertitik tolak daripada kenyataan biadap Ahli Parlimen Batu Y.B Tian Chua yang mudah merumuskan bahawa apa yang terjadi di Sabah adalah rancangan jahat UMNO dan Barisan Nasional. Beliau telah didakwa di Mahkamah atas kesalahan menghasut tetapi ini tidak mampu menutup mulut penyokong Pakatan Rakyat yang percaya dengan tohmahan ini. Media sosial digunakan dengan rakusnya untuk melemparkan pelbagai tuduhan pada pihak berkuasa khususnya Pihak Polis Diraja Malaysia. Kata-kata seperti “anjing umno” dan “mati katak” digunakan sewenang-wenangnya oleh segelintir rakyat terhadap pasukan keselamatan kita seolah mereka lebih tahu hal keselamatan negara.


Salah seorang bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat, Ng Lum Yong pernah merumuskan bahawa Pakatan Rakyat hanya pandai menghasut penyokong-penyokong mereka agar merasa benci kepada kerajaan. Sikap membenci kerajaan ini telah lama dipupuk oleh pimpinan Pakatan Rakyat sehingga membutakan hati penyokong mereka untuk membezakan antara yang hak dan yang batil. PAS juga tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan laba politik daripada isu di Sabah ini dengan mempersoalkan darjah “kesyahidan” wira-wira kita yang gugur. 

Di manakah sensitiviti mereka ini terhadap waris-waris pejuang kita? Perlu diingat juga bahawa Op Daulat masih lagi berjalan dan kenyataan-kenyataan biadap serta cemerkap ini mampu meruntuhkan semangat pasukan keselamatan kita di sana. Seluruh rakyat perlu sepakat di belakang kerajaan menentang dan mengutuk tindakan pengganas Kiram menceroboh kedaulatan negara kita. Inilah masanya untuk kita menzahirkan rasa patriotik kita terhadap Malaysia yang tercinta. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam telah menyatakan bahawa kerajaan akan mengadakan satu siasatan “white paper” bagi menyiasat setiap aspek pencerobohan oleh pengganas Kiram ini termasuk mengenal pasti dalang yang merancangnya. Kerajaan berdepan cabaran pertama pasca pemansuhan Akta Dalam Negeri 1960 yang sebelum ini telah digunakan dengan berkesannya bagi menangani kegiatan subversif dalam negara.

Krisis di Sabah akan beransur pulih dan kehidupan rakyat di kawasan yang terbabit akan kembali normal sedikit demi sedikit. Segelintir rakyat yang memberi komen biadap terhadap pasukan keselamatan mungkin tidak langsung mengambil kisah tentang nasib dan juga isteri dan anak-anak pejuang yang gugur. Mereka selesa menjadi General kedai kopi atau Kolonel papan kekunci dan gemar berhujah berkenaan teori konspirasi. Biarkanlah mereka, mereka jahil. Saya pulang dengan rasa yang diredam; menyedapkan hati ini memikirkan yang majoriti rakyat Malaysia masih menyokong penuh perjuangan pasukan keselamatan kita. 

@zulazry

P/S: Mari nantikan siapakah 3 org individu yg menjadi tali barut pengganas Kiram. Al-Fatihah buat perwira-perwira kita yang gugur menentang penceroboh Kiram.



Transformasi PAS berjaya? #BetterNation

Perjuangan PAS kini telah jauh tersasar dari arah tuju utama mereka. Segala usaha dan tekad mereka kini hanyalah berkiblatkan tampuk pimpinan Putrajaya. Sekilas lipatan sejarah memperlihatkan suatu ketika dahulu mereka cukup konsisten di dalam mentarbiyah ahli dan juga memperjuangkan negara Islam. Di atas sebab itu juga penyokong-penyokong PAS tidak gentar menghadapi apa sahaja rintangan. Malah suatu ketika dahulu, apa sahaja yang dilakukan tidak langsung mengharap sebarang ganjaran. Suruhlah mereka panjang pokok setinggi-tingginya untuk memasang bendera PAS, mereka akan berebut-rebut untuk melakukannya.

Semua ini adalah lahir daripada kepimpinan Haji Hadi Awang yang cukup istiqamah memperjuangkan penubuhan negara Islam. Kata-kata beliau dijadikan azimat buat penyokong-penyokong PAS berjuang di mana-mana sahaja tanpa rasa gentar.


“Kita rela kalah kerana melaksanakan Islam.Kita rela ditolak oleh rakyat kerana melaksanakan suruhan ALLAH.Apalah maknanya sebuah pemerintahan tanpa mendapat redha ALLAH!”

Di manakah bermula detik-detik signifikan yang telah mengubah hala-tuju perjuangan PAS mutakhir ini? Kenapakah dari sebuah kelompok yang konsisten memperjuangkan negara Islam boleh bertukar sekelip mata? Tokoh yang sama juga terlibat di dalam mengemudi arah tuju baru PAS. Beliau pernah berkata pada Januari 2003: 

“Justeru kerana isu Negara Islam dan pelaksanaan hudud dan syariat menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif terdahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam dan pelaksanaan HUDUD di peringkat persekutuan.Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini” 

Perubahan radikal yang dibawa oleh TGHA ini jelasnya adalah untuk memenuhi keperluan kesepakatan di antara DAP dan juga PKR. Lazimnya DAP tidak sesekali akan berganjak dengan prinsip mereka yang menentang sekerasnya penubuhan negara Islam dan juga undang-undang HUDUD. Formula ini telah memberi pulangan kepada barisan Pakatan Rakyat di dalam Pilihan Raya ke 12. 


Persoalannya sekarang, adakah wujud lagi keperluan bagi orang Melayu Islam menyokong PAS. Ini adalah kerana PAS tidak lagi berbeza dengan UMNO. Segala aspek yang kini diperjuangkan oleh PAS seperti Negara Berkebajikan telah lama diimplimentasikan oleh Barisan Nasional melalui polisi-polisi mereka. Malahan sekarang golongan Ulama sudah semakin disisihkan oleh pimpinan utama PAS. Nama-nama besar seperti Ustaz Nasharuddin dan juga Hasan Ali disisihkan dan diganti dengan pemimpin yang lebih liberal pandangan mereka terhadap Islam. 

Masih relevankah perjuangan PAS kini? Pendekatan liberal ini jelas terpancar apabila isu penggunaan kalimah suci ALLAH di dalam Kitab Injil berbahasa melayu dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat. Hanya setelah menerima tamparan hebat oleh bukan sahaja golongan ulama di dalam PAS malahan majoriti rakyat Islam, barulah PAS membatalkan sokongan mereka terhadap isu ini. Namun ini tidak memadamkan kesangsiaan Melayu Islam di Malaysia tentang keikhlasan PAS memperjuangkan Islam. Kesangsian tersebut semakin menebal apabila TGHA dilaporkan berkata pada 3.11.2012 : 

“Kita mengikut kesesuaian termasuk melalui jangkaan penerimaan pengundi untuk menjamin kemenangan. Sebab itu kita tidak boleh dan tidak meletakkan calon bertanding begitu sahaja, kita mahu calon itu menang.”


Maka lengkaplah transformasi PAS dari sebuah Parti yang berlandaskan Islam dalam segala aspek kepada sebuah parti demokratik liberal yang akan mengambil kira keperluan dan kesesuaian masa kini sehingga mengenepikan niat penubuhan negara Islam dan Hudud.Namun begitu sokongan ahli kepada pimpinan tetap utuh walaupun pelbagai isu melanda PAS.

Dr.Farish Noor memuji PAS sebagai satu parti yang dinamis dan berkembang mengikut arus zaman. Persoalannya sekarang, adakah perkembangan tersebut selari dengan perjuangan asal mereka?Apakah golongan kontemporari telah berjaya merubah pemikiran pimpinan tertinggi mereka sehingga kini tidak lagi memperjuangkan konsep negara Islam?

@zulazry 

P/S: Apa bezanya PAS dgn UMNO skrg?

Politik Zaman Edan?

Pendedahan demi pendedahan berkenaan salah laku seks oleh pimpinan tertinggi Pakatan Pembangkang kebelakangan ini adalah satu perkembangan tidak sihat di dalam dunia politik negara. Terbaru, satu rakaman video yang dikatakan melibatkan pimpinan tertinggi PAS Dato Mustafa Ali, heboh diperkatakan. Video yang menampilkan aksi seks oleh seseorang yang mirip beliau ini berkualiti tinggi dan jelas menampakkan rupa wajah si pelaku. Ekoran pendedahan ini, Mustafa Ali telah mengeluarkan kenyataan menafikan penglibatan beliau dan serah kepada peguam beliau.

Dalam lipatan sejarah, taktik pendedahan skandal seks dan serangan peribadi ini telah mula dipelopori oleh parti DAP. Pada 11 Disember 1989 Karpal Singh telah mendedahkan di dalam Dewan Rakyat bahawa D.P Vijandran (Pemimpin tinggi MIC ketika itu) terlibat di dalam perlakuan lucah yang mana video rakamannya telah tersebar setelah dicuri dari rumah beliau. Kemudian sekali lagi Karpal Singh membuat serangan peribadi dengan mendedahkan dalam Parlimen bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam aktiviti seks songsang. Rekod Hansard menunjukkan Karpal Singh telah membuat kenyataan tersebut sebanyak tiga kali di dalam Dewan Rakyat.

Selepas itu di antara pemimpin-pemimpin negara yang pernah tercalit dengan skandal seks adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Chua Soi Lek dan juga Azmin Ali. Hanya Datuk Seri Chua Soi Lek sahaja yang berani mengakui kesilapan beliau dan memohon maaf kepada rakyat. Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Azmin Ali berterusan menafikan bahawa mereka terlibat di dalam rakaman-rakaman video terbabit. Sebaliknya, kewujudan video tersebut telah digunakan sepenuhnya oleh Pakatan Pembangkang untuk mendapatkan laba politik dengan mendendangkan lagu simpati kepada rakyat. Lebih ramai orang memperkatakan tentang video tersebut semakin ramai orang membenci kerajaan.

Oleh itu adalah tidak logik dari segi strategi politik untuk Barisan Nasional atau UMNO mengambil bahagian secara aktif di dalam pendedahan skandal terbaru ini. Ini adalah kerana kecenderungan pihak pembangkang menuding jari kepada pihak UMNO dan Barisan setiap kali timbul isu-isu sebegini. Tidak cukup dengan itu, penyokong-penyokong tegar mereka tanpa usul periksa pantas menempelak UMNO dan Barisan Nasional. Pelbagai jolokan dan momokan dilemparkan tanpa sedikit pun mengkaji tuduhan-tuduhan tersebut. Sejauh mana skandal terbaru ini akan mempengaruhi persepsi rakyat masih lagi tidak dapat dikenalpasti. Sama-samalah kita nantikan.











Monday, May 6, 2013

Kedah Kembali Ke Pangkuan @barisanasional #SaveKedah #KedahBaru



Kerajaan PAS di Kedah sebelum kekekalahan dlm PRU12  adalah pentadbir dan Barisan Nasional mengambil tugas sebagi agen "Check & Balance". Apa yg penting sekarang adalah mengenalpasti samada prestasi kerajaan PAS yang telah diberi mandat oleh rakyat Kedah mencapai tahap yang sepatutnya. Rakyat Kedah harus menilai setiap apa yang dilakukan sepanjang PAS memerintah menjelang PRU13 yang akan diadakan kelak.

Pada awalnya, Kerajaan PAS Kedah dilihat seperti satu sinar baru buat rakyat Kedah. Rakyat yang percaya dengan imej Islam yang dibawa PAS mendambakan suatu perubahan dalam segenap aspek. Menteri Besar Kedah Ustaz Azizan, seorang ilmuwan juga tampak tidak agresif dan mengambil pendekatan sederhana dalam mentadbir negeri Jelapang Padi. Namun begitu, mungkin kerana sudah lama membarisi kerusi pembangkang, Kerajaan PAS dilihat sangat lemah dari segi pentadbiran.

Kita boleh lihat dari segi pengurusan air di Kedah yg mana setelah disusun semula melihat kenaikan dalam tarif Air; lantas janji atau manifesto yang tarif air tidak akan dinaikkan gagal dipenuhi.  Penarahan bukit bukau bagi memenuhi nafsu serakah pembalak bukan lagi satu rahsia di Kedah, malahan berlaku di depan mata Menteri Besar sendiri. Projek pembalakan di Papua New Guinea yang pada awalnya dicanang sebagai tanda kebijaksaan pelaburan luar negara kerajaan, akhirnya punah bersama dengan wang rakyat.

Di kala kuil-kuil Hindu di seluruh negara dipertahankan walau dilanda arus permodenan, kerajaan PAS Kedah atas nama pembangunan berjaya merencana pengambilalihan tanah Madrasah Salihiah. Tidak mengejutkan juga bahawa pemaju yang terlibat adalah Belleview Group iaitu pemaju yang sama yang menjadi pertikaian di Pulau Pinang. Sekiranya kita lihat di Mid Valley Megamall, di sana kita dapat saksikan sebuah Kuil Hindu gah berdiri utuh menidakkan pembangunan total pihak pemaju. Di mana keseimbangan kebendaan dan kerohanian yang dicanang oleh PAS? Adakah pembangunan lebih penting dari mengimarahkan sebuah Madrasah?

Di manakah pula janji kerajaan PAS untuk menghapuskan maksiat, judi & arak sebelum mendapat kuasa? Kini bukan sahaja tidak dihapuskan, malah pusat-pusat hiburan terus segar tumbuh bak cendawan selepas hujan. Lihat saja di Alor Mengkudu di mana tersegamnya sebuah Kelab Malam Eksklusif bediri megah di bawah naungan kerajaan negeri.  Malahan kerajaan PAS terus mengutip levi & cukai dari bayaran lesen atas pusat-pusat hiburan, judi & arak . Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa kerajaan negeri PAS punya "tangan kotor" dalam mengalakkan kebejatan sosial di Kedah.

Apabila disentuh berkenaan dengan laporan Audit Negara terhadap badan dan anak syarikat kerajaan negeri kedah didapati terdapat kelemahan perlaksanaan dan pemantauan. Kegagalan paling besar seperti pembalakan di Papua New Guinea dan juga projek 99 East di Langkawi jelas menzahirkan betapa lemahnya Kerajaan Negeri yang gagal membuat "feasibility studies". Suatu perkara asas sebelum membuat sebarang pelaburan besar.

Kemelut yang melanda Kolej Universiti Insaniah yang satu ketika dahulu menjadi kebangaan rakyat seolah tidak ada penghujungnya. Pelbagai masalah yang dihadapi seperti pembayaran gaji kakitangan yang tidak menentu, KWSP tidak dicarum serta yang terbaru disaman RM3 juta di Mahkamah. Semua ini menunjukkan kelemahan pengurusan ketara di bawah kendalian kerajaan negeri PAS. Di mana rancangan pembinaan rumah mampu milik yang dirancang di Pokok Sena, Yan dan lain-lain tempat? Semua ini adalah fakta dan bukan fitnah sehingga Adun-adun PAS kelu tak terkata apabila disoal di dalam sidang DUN.

Banyak lagi contoh yang dapat dibawakan di sini bagi membuktikan kelemahan kerajaan negeri PAS dalam aspek perancangan dan pentadbiran. Dalam usaha untuk menaikkan imej kerajaan negeri yang sudah semakin tercalar, satu buletin telah diedarkan oleh mereka kepada rakyat yang mengatakan bahawa sejak 2008 sebanyak 11 buah masjid telah dibina mereka. Walhal, Kesemua masjid tersebut dibina melalui dana persekutuan dan satu oleh individu.

Oleh itu tidak mengejutkanlah apabila melihat PAS Negeri Kedah menyaksikan perebutan kuasa di antara pimpinan negeri sehinggakan akhirnya mereka tumbang dalam PRU13. Kesimpulannya, Kerajaan Negeri Pas telah diberi peluang yang saksama untuk membuktian kemampuan mereka. Malangnya, tidak ada satu pun perkara yang dapat dibanggakan semenjak mereka memerintah. Apa yang jelas, mereka tidak pandai mentadbir dan harus dikembalikan ke barisan kerusi pembangkang.


@Zul Azry


PS: Alhamdulillah Barisan Nasional berjaya merampas tampuk pemerintahan di Kedah.Tahniah diucapkan kepada Datuk Paduka Mukhriz Mahathir