Wednesday, May 8, 2013

Himpunan Suara Keramat Rakyat bakal tabal Anwar sebagai PM? #Black505

Hebat sungguh aura Anwar Ibrahim semasa Himpunan Suara Keramat Rakyat malam tadi. Himpunan yang menjana kehadiran puluhan ribu penyokong tegar Pakatan Rakyat membawa satu misi khas iaitu membantah keputusan Pilihan Raya ke 13. Hakikatnya perkara ini telah pun diramal belaku oleh kebanyakan penganalisis politik tanah air. Malahan segala gerak geri Pakatan Rakyat kini sudah terlalu mudah untuk dibaca oleh rakyat. 


Saya berkesempatan menghadiri perhimpunan tersebut dan cuba untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh pemimpin-pemimpin yang berucap. Memandangkan niat utama mereka adalah untuk membantah keputusan pilihan raya, saya menanti sebarang bukti yang akan dibawa oleh mereka. Apa yang saya nampak hanyalah cubaan mereka untuk menaikkan rasa benci rakyat kepada SPR dan juga Barisan Nasional. Saya rasa mereka tidak perlu bersungguh berbuat demikian kerana semua yang hadir sudah tentu membenci kerajaan.


Setiap pemimpin yang diberi peluang untuk berucap membawa nada yang serupa. Mereka mengatakan SPR tidak telus. Mereka mendakwa BN bawa 40,000 warga bangladesh untuk mengundi. Mereka kata BN menang tipu sebab "blackout". Mereka kata helikopter digunakan untuk membawa 2 peti undi. Namun sehingga akhir perhimpunan #black505 semalam, mereka masih gagal kemuka bukti senarai nama 40,000 yang dimaksudkan dan tunjuk bukti kukuh kejadian "black out" tersebut? Hanya jerit pekik pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat menyemarakkan rasa benci pada Kerajaan Barisan Nasional.


Malahan ada juga di kalangan pemimpin Melayu Pakatan Rakyat yang sanggup memberi peringatan bahawa ulangtahun peristiwa 13 Mei akan tiba tidak lama lagi. Untuk apakah sejarah hitam ini diulangi? Tidak ada langsung kaitan di antara peristiwa 13 Mei dengan Himpunan Suara Keramat Rakyat ini. Ironinya, kerajaan Pakatan Rakyat segera membentuk kerajaan negeri di Pulau Pinang dan Kelantan? Sistem pilihan raya yang sama juga dijalankan di sana dan kini mereka katakan bahawa SPR tidak telus?


Malahan majoriti pemimpin Pakatan Rakyat yang berucap di atas pentas di Stadium Kelana Jaya semalam berjaya memenangi kerusi Pilihan Raya yang ditandingi mereka! Apa yang jelas Anwar memang punya aura dan lantang apabila berhujah! Malahan sesiapa sahaja boleh terpengaruh dengan setiap bait kata-kata yang diucapkan beliau. Namun pada saya himpunan semalam hanyalah satu lagi platform buat Anwar menghidupkan sisa-sisa peluang beliau untuk ke Putrajaya.

Tidak hairanlah ada di kalangan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat yang sudah merasa penat dengan perjuangan kosong Anwar Ibrahim ini. Cukuplah mengheret rakyat bersama kegagalanmu Anwar. Himpun segala data, faillah Petisyen Membantah Pilihan Raya. Itu sahaja jalan terakhir yang ada.

@zulazry 

P/S: Takut dengan bayang-bayang sendiri? 

No comments:

Post a Comment