Wednesday, May 8, 2013

Tsunami "UBAH" bantu kemenangan Pakatan Rakyat? #GE13 #PRU13

Pilihan Raya ke 13 yang baru sahaja berakhir menimbulkan pelbagai persoalan di dalam usaha pembinaan negara. Hakikatnya Barisan Nasional telah gagal untuk mengukuhkan lagi kedudukan mereka di dalam Parlimen. Walaupun Barisan Nasional berjaya mendapat mandat untuk memerintah dengan majoriti mudah, banyak persoalan yang timbul terutamanya kekuatan perikatan Barisan Nasional.

Semua orang memperkatakan tentang "Tsunami Cina" yang melanda negara walhal pada pendapat saya ini tidak tepat. Pihak Pakatan Rakyat sebenarnya telah berjaya membawa satu jenama secara konsisten di dalam usaha mereka menentang Barisan Nasional. Jenama "UBAH" yang selama ini dicanang secara tersusun oleh laskar-laskar Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk "mindset" pengundi-pengundi muda dalam mereka membuat pilihan.

Buka sahaja laman Facebook dan buat carian "UBAH" dan anda akan dapat lihat betapa tersusun dan lantang pihak pelopor jenama ini. Setiap apa yang dicanangkan oleh "UBAH" walaupun tidak benar atau separa benar dicanangkan secara maksima. Lihat sahajalah bagaimana cerita tentang "blackout" ini direkayasa sehingga seluruh Malaysia memperkatakannya dalam tempoh yang singkat. Orang tidak peduli walaupun ada yang memberi penjelasan yang munasabah kerana mereka sudah tidak peduli pada fakta. Apa yang mereka tahu Anwar Ibrahim adalah benar dan apa sahaja yang keluar dari mulut Ketua Pembangkang adalah "wahyu"!


Ini adalah hakikat pahit yang perlu diambil iktibar oleh pihak Barisan Nasional. Tidak perlu jadi seorang penganalisa politik dari pertubuhan "think-tank" terkemuka untuk membuat andaian ini kerana pihak Pakatan Rakyat sebenarnya sudah lama bertapak dalam alam maya. Minda penyokong tegar dan juga majoriti senyap di telah dirawat secara sistematik dalam tempoh yang lama supaya membenci apa sahaja berkaitan kerajaan Barisan Nasional.


Pada masa yang sama, minda penyokong Pakatan Rakyat juga telah dibutakan terhadap sebarang salah laku yang dibuat oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Pihak Barisan Nasional telah berjaya mengurangkan sedikit pengaruh gelombang "UBAH" di dalam alam maya namun ini tidak dapat menghalang Pakatan Rakyat terutama DAP daripada mencatatkan keputusan cemerlang dalam PRU13.

Oleh itu, "Tsunami Cina" bukanlah ukuran yang tepat terhadap kegagalan pihak Barisan Nasional untuk mencatatkan keputusan yang cemerlang dalam PRU13. Sebenarnya, pola undi rakyat kini berpecah kepada banyak kategori dan satu kajian yang menyeluruh perlu dilakukan bagi mendapatkan gambaran yg lebih jelas. Sebagai contoh, Individu seperti Rafizi Ramli dan juga Zairil berjaya menang di tempat majoriti kaum cina dan menentang lawan kaum cina. Apa penjelasannya di sini? Cuba kaji kerusi-kerusi di bawah seperti yang dikongsi di laman FB sahabat saya.


Saya juga sangat kecewa apabila golongan Melayu Ultra meletakkan 100% kesalahan terhadap MCA yang telah gagal untuk menyumbangkan kemenangan seperti yang dijanjikan. Semangat kerjasama harus diteruskan kerana semangat inilah yang selama ini membawa kejayaan kepada Barisan Nasional sejak kemerdekaan lagi. UMNO juga pernah gagal sebelum ini dan MCA & MIC berada bersama mereka. Kenapa kini semua pihak meletakkan beban hanya pada MCA? Datuk Seri Najib Razak juga harus memikul tanggungjawab selaku pengerusi Barisan Nasional!


Trend kemenangan tipis pilihanraya juga dialami di UK dan juga USA. Media Sosial seperti Twitter, Facebook dan juga Youtube menjadi senjata ampuh parti politik dalam mebawa mesej mereka. Apapun, Pilihan Raya telah tamat dan setiap komponen Parti dalam Barisan Nasional harus segera lakukan "bedah siasat" bagi mencari segala kelemahan yang ada dan atasi semuanya. Barisan Nasional masih lagi relevan dan kerjasama ini harus diteruskan agar usaha pembinaan negara dapat dijalankan dengan lancarnya.

@zulazry 


P/S. Please stop all the crap about MCA not performing! UMNO didn't fair well either! 

No comments:

Post a Comment