Everything that irritates us about others can lead us to an understanding of ourselves - Carl Jung
Tuesday, September 23, 2014
UPSR Serlah Keberanian Muhyiddin
Kejadian kebocoran empat kertas ujian UPSR baru-baru ini amat mengejutkan semua pihak di Malaysia. Namun begitu, amatlah naif sekiranya kita tidak akui bahawa kewujudan isu soalan peperiksaan bocor sebenarnya sudah lama membarah di dalam negara kita. Malahan, ketika saya menduduki peperiksaan SPM pada sekitar tahun 1995, sudah ada cakap-cakap berkenaan kertas soalan bocor.
Tan Sri Muhyiddin selaku Menteri Pendidikan kini berada dalam situasi getir dalam menghadapi kritikan umum mengenai kebocoran ini. Namun, perlu juga diingat, beliau juga punya pilihan untuk menguburkan isu ini sedalam-dalamnya waktu ketika fail ini mula-mula sekali dibawa di atas meja beliau. Sekiranya saya berada di situasi beliau, saya akan teruskan dengan peperiksaan UPSR dan siasat tuduhan tersebut di belakang tabir atau "in camera". Lambat laun, orang ramai akan lupa juga.
Namun, Tan Sri tidak memilih jalan selamat atau jalan pengecut. Beliau memilih untuk menyiasat isu ini sehingga ke akar umbi dan setakat ini sudah 14 orang dipanggil untuk memberi kenyataan. Tidak cukup dengan itu, satu jawatankuasa khas telah ditubuhkan bagi menyiasat dan menambahbaik prosedur pengendalian kertas peperiksaan di bawah Lembaga Peperiksaan. Komitmen ini haruslah dipandang serius oleh kerana masalah ini harus diselesaikan agar kualiti pentaksiran kementerian tidak lagi dipertikaikan.
Saya berpendapat tindakan tegas yang telah diambil oleh pihak berkuasa terhadap pihak yang membocorkan soalan UPSR ini akan memberi peringatan kepada pihak lain yang berniat untuk berbuat demikian di masa akan datang. Sesetengah pihak mengatakan bahawa tindakan yang diambil terlalu drastik dan kejam. Niat tidak menghalalkan cara. Perlu diingat, di setiap helaian kertas ujian yang dicetak Lembaga Peperiksaan tertera perkataaan "Rahsia Kerajaan". Sesiapa yang membocorkan rahsia ini tidak boleh menyatakan bahawa mereka tidak sedar tentang kesalahan ini. Lagipun, ini adalah amalan perundangan yang tidak menerima pembelaan tidak tahu undang-undang seperti yang jelas diajar orang Latin - "Ignoratia Lex Non Ex Cusat".
Pelbagai isu yang melanda kebelakangan ini membuatkan syahwat politik orang ramai membuak-buak, mencernakan pelbagai konspirasi politik untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin. Tidak cukup dengan itu, ramai pihak terutama pihak pembangkang menuntut agar Tan Sri mengundur diri dan melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan. Oleh itu, tidak mengejutkan apabila kem Tan Sri menggunakan perkataan "sabotaj" dan "konspirasi"secara borong apabila memberi komen tentang isu UPSR.
Namun begitu, seseorang pemimpin itu akan diuji apabila dilanda sebarang isu besar. Datuk Seri Hishamuddin Hussein mendapat markah cemerlang ketika mengendalikan tragedi MH370 setelah agak tenggelam ketika menangani isu Lahad Datu. Mungkin isu UPSR akan menjadi satu penanda aras bagi mengukur kebijaksanaan Tan Sri Muhyiddin dalam mengendalikan sesuatu isu berskala nasional. Setakat ini, beliau membawa "carry marks" yang mencukupi. Setakat ini.
Gambar: Wikipedia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment