Sunday, December 28, 2014

Banjir 2014 Yang Terburuk Dalam Sejarah Negara? #Banjir2014

Banjir yang kini melanda tujuh negeri di Malaysia disifatkan antara yang terburuk dalam sejarah. Kelantan, Terengganu dan Pahang adalah negeri yang paling teruk dilanda banjir. Fenomena air laut pasang dan kadar hujan yang tinggi menyumbang ke arah tragedi ini. Beberapa tempat di Kelantan seperti Kuala Kerai terputus hubungan dengan dunia luar.

Pengalaman saya sendiri merasa dua banjir besar di Alor Star pada tahun 2005 dan 2010 tidak dapat menandingi apa yang dirasai mangsa-mangsa banjir di Pantai Timur kini. Pada masa blog ini ditulis, akhbar STAR melaporkan jumlah mangsa yang dipindahkan telah mencecah 120,000 orang. Ramai pihak yang tampil memberi bantuan kepada mangsa, malah rakan-rakan di Twitter antara yang terawal melancarkan kempen bantuan buat mangsa banjir. Syabas diucapkan buat mereka semua.

Kerajaan Persekutuan juga setakat ini telah berjanji untuk  membantu semua mangsa-mangsa banjir. Setakat ini, sudah lebih kurang RM550 juta telah diumumkan pihak kerajaan bagi membantu mangsa di negeri-negeri yang teruk dilanda musibah banjir ini. Sumbangan BR1M juga telah dipercepatkan bayarannya dari lewat Januari ke pertengahan Januari. Kementerian Pendidikan pula telah mengumumkan bahawa cuti persekolahan akan dilanjutkan seminggu bagi memberi masa buat mangsa-mangsa banjir bangkit dari bencana ini.

Namun begitu, dalam kekalutan menghadapi bencana ini, ada juga yang ambil kesempatan mendapatkan laba politik dengan memainkan pelbagai cerita. Y.B Lim Kit Siang antara terawal yang melontar dadu politik dengan mengkritik Perdana Menteri yg pada awal kejadian banjir berada di Hawaii, Amerika Syarikat.

Ada juga yang ambil kesempatan menyebarkan cerita-cerita palsu mengenai Tsunami yang bakal melanda serta kadar kematian yang tinggi (beserta gambar) di Pantai Timur. Saya fikir ada segelintir orang yang memang sengaja mahu ambil kesempatan di dalam suasana bencana ini. Tidak kurang juga pihak-pihak yang mengadu domba bagi mendapatkan kelebihan politik di dalam suasana banjir ini.

Saya tidak berada di Pantai Timur atau mana-mana tempat lain yang dilanda banjir. Saya hanya mampu berdoa dan merasa hiba apabila melihat gambar-gambar banjir yang sukar untuk dipercayai. Doa buat anda semua di sana, semoga tabah hadapi dugaan ini.












No comments:

Post a Comment