Tuesday, December 30, 2014

Banjir di Mentakab, Kerdau, Kuala Krau, Mentakab dan Temerloh terburuk sejak 1971


Kelmarin saya dapat jemputan untuk ikuti rombongan bantuan bencana banjir kendalian MOT di bawah Datuk Seri Liow Tiong Lai ke beberapa tempat di Pahang. Tanpa berfikir panjang saya terus bersetuju untuk ikut serta hulurkan bantuan. Apabila saya tengok jadualnya (Setuju dulu baru tengok butiran), perjalanannya agak mencabar rupanya. Persinggahan pertama adalah di Mentakab di mana ada beberapa tempat yang ditenggelami banjir.

Selepas itu kami beserta beberapa orang wakil media bertolak ke Kerdau dan Kuala Kurau menaiki satu trolley train. Saya difahamkan oleh wakil KTM bahawa Kerdau dan Kuala Kurau kini hanya boleh dihubungi dengan landasan keretapi. Sampai sahaja di Kerdau, pasukan bantuan DS tidak menunggu lama untuk turun ke padang berjalan di seluruh pekan Kerdau untuk berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir. Keadaan agak terkawal dengan bekalan makanan dan bahan asas mencukupi walaupun sudah seminggu ketiadaan bekalan elektrik dan air.

Kemudian, pasukan kami menaiki trolley train tersebut semula menuju ke Kuala Krau. Pemandangan di sana agak menyedihkan, saya dapat melihat dengan mata saya sendir laluan ke sana terputus dek kerana banjir. Dua stesyen minyak tenggelam dan yang kelihatan hanyalah papan tanda syarikat minyak tersebut. Pekan Kuala Krau agak besar berbanding dengan Kerdau. Boleh dikatakan, pasukan DS telah berjalan di seluruh pekan tersebut berjumpa dan bertanya khabar dengan mangsa banjir. Suasana sedih penuh emosi menyelubungi apabila beberapa kali warga tua yang disapa DS, menangis tanpa silu apabila menceritakan pengalaman banjir mereka.

Dalam perjalanan pulang, kami telah membawa bersama beberapa penduduk Kuala Krau yang sakit untuk mendapatkan rawatan di Mentakab. Perjalanan pulang ke Mentakab menaiki trolley mengambil masa lebih kurang setengah jam. Saya akui pada ketika itu, saya merasa agak terkesan apabila melihat dan mendengar keluhan mangsa banjir di kedua-dua tempat tersebut. Banjir tidak asing dengan saya kerana saya sendiri pernah menjadi mangsa banjir di Alor Star pada tahun 2005 dan 2010. Namun keadaan di sini amat teruk sekali.

Sampai sahaja di Mentakab lebih kurang jam 3 petang, kami semua singgah di Kampung Baru Mentakab, kawasan yang agak teruk dilanda banjir. Sekali lagi saya menyertai pasukan DS untuk berjalan dan berjumpa dengan rakyat tempatan. Teruja saya melihat tenaga dan semangat yang ditunjukkan oleh Datuk Seri untuk turun padang melihat sendiri keadaan banjir.

Perjalan kami diteruskan ke Temerloh. Pada ketika itu saya tidak ada gambaran bagaimana keadaan banjir di sana. Ketika kami tiba di depan Agrobank Temerloh, kelihatan ramai rakyat yang menunggu di sekitar lokasi tersebut. Rupanya lokasi tersebut kini telah menjadi seperti satu jeti "penambang" untuk bergerak ke satu tempat ke tempat yang lain. Temerloh kini dipisahkan dengan air dan sesetengah tempat menjadi seperti pulau-pulau kecil.

Ya Allah, teruknya banjir di Temerloh! Beberapa orang rakyat tempatan yang sempat saya bertanya mengatakan bahawa banjir kali ini adalah setanding dengan banjir besar yang pernah melanda pada tahun 1971. Kebanyakan bangunan di pekan Temerloh telah ditenggelami air lebih kurang sedalam satu tingkat bangunan. Kami menaiki beberapa bot yang disediakan Jabatan Laut untuk meninjau keadaan banjir di pekan Temerloh.

Kami singgah di dua tempat untuk berjumpa mangsa banjir. Bekalan asas di beberapa penempatan sementara banjir di Temerloh juga mencukupi. Berbeza dengan Kerdau dan Kuala Krau, Temerloh masih mempunyai bekalan air bersih. Suasana menjadi sedikit tegang di satu tempat apabila kelihatan seorang pemuda menjerit dan memarahi Datuk Seri. Saya tidak faham apa yang dimarahi kerana beliau bertutur dalam bahasa cina, tetapi apabila saya bertanyakan kepada beberapa orang tempatan, mereka merasakan bahawa ada unsur mainan politik yang cuba dibawa oleh pihak pembangkang ke sana. Wallahualam.

Namun, walaupun di dalam keadaan seperti itu, Datuk Seri tenang mendengar permasalahan mereka untuk dipanjangkan kepada kabinet dan pihak berwajib. Pada ketika itu, sedikit rasa kagum melihat kesabaran dan kecekalan beliau hadapi reaksi berbeza masyarakat yang ditemui. Kembara kami di sana diakhiri di pusat bantuan banjir Persatuan Buddhist Temerloh sebelum menaiki bot kembali menuju ke Agrobank. Pengalaman ini tidak akan dapat saya lupakan seumur hidup. Keperitan mangsa banjir ini tidak akan berakhir walaupun selepas banjir surut. Mereka perlu lebih banyak bantuan untuk bangkit semula dari bencana ini. Kepada Datuk Seri, terima kasih kerana beri peluang kepada saya untuk melihat sendiri penderitaan rakyat yang menjadi mangsa banjir. Semoga mereka tabah hadapi semuanya.

No comments:

Post a Comment